
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sedang menggerakkan usaha secara berperingkat bagi meletakkan Kota Bharu sebagai Bandar Gastronomi Dunia di bawah Rangkaian Bandar Kreatif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), sekali gus mengangkat negeri itu ke peta pelancongan antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, setakat ini hanya beberapa bandar di Malaysia seperti Kuching dan Johor Bahru tersenarai di bawah pengiktirafan berkenaan, manakala Kota Bharu masih dalam proses penilaian.
Menurut beliau, antara cabaran utama permohonan tersebut ialah penyediaan inventori lengkap makanan tradisional yang merangkumi kepelbagaian hidangan serta warisan kulinari tempatan.
“Kota Bharu sebenarnya mempunyai kekuatan sebagai bandar makanan. Jika berjaya disenaraikan, ia bukan sahaja meletakkan Kota Bharu di peta pelancongan dunia, malah memperkukuhkan identiti Kelantan sebagai destinasi gastronomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ucaptama Penutup Seminar Kajian Pembangunan Pelancongan Negeri Kelantan yang diadakan di H Elite & Design Hotel, di sini.
Program berkenaan turut menampilkan tiga anggota panel iaitu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Zameri Mat Nawang; ADUN Nenggiri, Dato’ Abdul Hadi Awang Kecik serta Ketua Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Wan Muhammad Hazam Wan Hassan.
Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, segala potensi yang dimiliki Kelantan termasuk destinasi pelancongan, makanan tradisional, kraftangan dan seni budaya perlu diketengahkan secara lebih agresif sehingga ke peringkat antarabangsa.
Beliau turut mendedahkan, masih berlaku kekeliruan di peringkat global antara Kota Bharu dan Kota Kinabalu, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkenalkan Kelantan secara lebih menyeluruh di persada dunia.
“Dalam satu pembentangan di luar negara, ada pihak menyatakan mereka pernah ke Kota Bharu, namun sebenarnya merujuk kepada Kota Kinabalu.
“Keadaan ini jelas menunjukkan Kelantan masih belum benar-benar muncul dalam peta pelancongan dunia,” ujarnya.
Selain gastronomi, beliau berkata pelancongan kesihatan turut dikenal pasti sebagai sektor strategik baharu yang berpotensi besar untuk dibangunkan di negeri ini.
Menurutnya, Kelantan menyasarkan kemasukan pesakit antarabangsa khususnya dari Indonesia dan Thailand yang mementingkan kualiti rawatan berbanding kos semata-mata.
“Indonesia mempunyai hampir 300 juta penduduk dan kira-kira 10 peratus daripadanya terdiri daripada golongan berkemampuan. Mereka sanggup mendapatkan rawatan di Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, dan Kelantan juga berpotensi menjadi pilihan,” katanya.
Tambah beliau, Kelantan memiliki beberapa hospital pakar yang diiktiraf termasuk Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia yang menjadi pusat rujukan nasional bagi penyakit saraf, selain hospital swasta seperti Hospital Pakar Perdana dan Kota Bharu Medical Centre (KBMC).
Katanya, KBMC kini sedang melalui fasa pembangunan baharu termasuk pembinaan bangunan moden yang dijangka siap dalam tempoh terdekat bagi meningkatkan kemudahan rawatan dan keselesaan pesakit.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan kerajaan negeri turut menggalakkan kerjasama antara hospital dan pengusaha hotel tempatan bagi menyediakan pakej penginapan khas pada kadar istimewa kepada pesakit yang menjalani rawatan jangka panjang.
“Saya telah berbincang dengan pengusaha hotel dan mereka bersetuju menawarkan kadar diskaun khas kepada pesakit yang sedang menerima rawatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2026











