
KOTA BHARU: Sukan Bocce dilihat berpotensi cerah untuk disenaraikan sebagai salah satu acara pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2028 yang akan menyaksikan Kelantan sebagai tuan rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum sukan yang mirip boling padang itu dapat dipertandingkan di peringkat Sukma.
Menurut beliau, antara keperluan utama ialah kelulusan Jawatankuasa Tertinggi Sukma selain kesediaan negeri tuan rumah menerima sukan berkenaan dengan penyertaan pasukan yang mencukupi.
“Setakat ini ia bergantung kepada beberapa faktor. Insya-Allah, Kelantan sebagai tuan rumah Sukma 2028 akan mempertimbangkan permohonan persatuan ini untuk dimasukkan sebagai salah satu acara pilihan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Bocce Komuniti Sekolah Peringkat Kebangsaan Edisi Kedua di sini.
Menurut Zamakhshari, perkembangan positif sukan Bocce yang berasal dari Itali serta semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi menjadi antara faktor utama ia wajar dipertimbangkan ke peringkat Sukma.
Sementara itu, Presiden Boules Bocce Malaysia, Razali Wan Zain berkata, setakat ini sebanyak 10 negeri telah berdaftar dengan persatuan masing-masing dan mempunyai lebih enam pasukan, sekali gus memenuhi syarat kelayakan untuk bertanding di peringkat Sukma.
Menurut beliau, kebanyakan peserta sukan tersebut terdiri daripada pelajar sekolah menengah hingga ke peringkat universiti dengan had umur 21 tahun ke bawah.
“Dari segi kewangan, sukan ini tidak melibatkan kos jutaan ringgit. Dengan anggaran ratusan ribu ringgit, pihak persekutuan mampu menampung kos penganjuran kerana kami turut mendapat sokongan rakan sukan serta pihak korporat,” katanya.
Tambahnya, walaupun sokongan kerajaan negeri tetap diperlukan, penganjuran sukan Bocce masih boleh dilaksanakan walaupun tidak menerima pembiayaan sepenuhnya.
“Sukan ini dianggap sebagai sukan murah tetapi berprestasi tinggi,” ujar beliau.
Beliau berkata, sukan Bocce hanya memerlukan dua pegawai dan empat atlet bagi setiap pasukan serta mempertandingkan tujuh pingat termasuk satu juara keseluruhan, menjadikannya antara sukan paling menjimatkan untuk dianjurkan. – HARAKAHDAILY 4/2/2026











