
BERLALUNYA waktu, kita semakin lupa menghargai hari-hari yang Allah kurniakan kerana terlalu sibuk mengejar urusan dunia hingga urusan agama dipinggirkan. Terasa berat untuk mengambil peduli mengenai hal-hal akhirat: bagaimana mahu menjadi insan yang lebih baik, bagaimana menyuburkan semangat beribadah, bagaimana meraih lebih banyak keuntungan dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT, serta bagaimana mencapai darjat yang tinggi di sisi-Nya kelak. Sebaliknya, yang tidak pernah letih difikirkan hanyalah cara menambah harta, mengejar pangkat, dan memanjangkan kekuasaan.
Rejab telah pun berlalu, dan kini kita melangkah masuk ke awal bulan Syaaban. Allah SWT menjadikan seluruh ciptaan-Nya sebagai medan renungan untuk menyuburkan keimanan, agar hati semakin teguh meyakini kalimah syahadah. Sepertimana firman Allah SWT:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.” (Al-Baqarah: 189)
Orang-orang terdahulu pernah bertanya mengenai salah satu ciptaan Allah SWT, mengapa peredaran anak bulan dijadikan sedemikian rupa? Mengapa tidak terus menjadi bulan penuh, sebaliknya hanya sempurna di pertengahan bulan, kemudian kembali mengecil dan berulang semula? Hikmahnya agar manusia mengetahui aturan waktu dalam kehidupan mereka. Waktu berpuasa, seperti puasa hari-hari putih. Waktu menunaikan zakat, bagi yang cukup haul mengikut kiraan bulan hijriah. Waktu melaksanakan kafarah, seperti berpuasa dua bulan berturut-turut. Begitu juga penentuan ibadah haji serta tempoh iddah seseorang.
Nabi mengajarkan membaca doa di awal bulan:
Daripada Thalhah bin Ubaidillah; Sesungguhnya bila Rasulullah SAW melihat hilal (anak bulan), Baginda SAW berdoa; “Wahai Tuhan yang telah menampakkan awal bulan kepada kami dengan aman dan iman, dengan selamat dan Islam, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah SWT. Bulan yang benar dan baik.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Seorang Muslim, apabila menyaksikan perubahan alam, hatinya akan segera terarah mengingati Tuhan Yang Maha Pencipta, iaitu Allah SWT. Lalu Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 36:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (At-Taubah: 36)
Alhamdulillah, Allah SWT telah menciptakan kita dalam satu-satunya agama yang diterima di sisi-Nya, iaitu Islam. Penetapan bulan-bulan dalam Islam telah wujud sejak Allah SWT menciptakan langit dan bumi, termasuk empat bulan haram, Zulhijjah, Zulkaedah, Muharram dan Rajab. Namun, amat menyedihkan apabila umat Islam sendiri semakin kurang mengambil berat mengenai bulan-bulan yang dimuliakan ini, sebagaimana disebut dalam hadis Nabi SAW:
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para Sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu adalah Yahudi dan Nashrani?” Beliau menjawab, “Lantas siapa lagi?” (Riwayat Muslim (2669))
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis tersebut menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan syibr (sejengkal), dziro’ (sehasta) dan lubang dhob hanyalah suatu perumpamaan. Ia menggambarkan keadaan segelintir kaum Muslimin yang begitu meniru dan menyerupai golongan Yahudi dan Nasrani, khususnya dalam perkara-perkara maksiat serta amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam. (Lihat: Syarh Muslim ‘ala al-Nawawi; 2/219)
Keadaan seperti ini akhirnya menyebabkan generasi akan datang menjadi asing terhadap bulan-bulan Islam itu sendiri. Mereka semakin jauh daripada kalendar hijriah kerana terlalu mengikut acuan Yahudi dan Nasrani, lalu akhirnya kita menjadi jahil mengenai kalendar Islam serta melupakan sejarah dan identiti kita sendiri.
Pada kesempatan ini, marilah kita menelusuri keistimewaan bulan Syaaban, bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Setiap daripada kita hendaklah melaksanakan setiap amalan berlandaskan ilmu, iaitu ilmu yang telah dipelajari dan difahami dengan benar.
Ammar ibn Qais Al-Mulai apabila sudah masuk bulan Syaaban, dia menutup kedainya untuk mengabdikan dirinya memperbanyakkan membaca al-Quran dan melakukan amalan-amalan soleh yang lain.
Sebagai persiapan ke bulan Ramadan. Membaca al-Quran di bulan Syaaban menjadi amalan yang diutamakan di samping termasuk persiapan menyambut Ramadan secara rohani, jasmani, mental dan emosi. Al-Quran bukan setakat dibaca tetapi dihafal, difahami maknanya dan di amalkan dalam kehidupan.
Abu Bakar Al-Warraq menyatakan, “Bulan Rejab bulan bercucuk tanam, bulan Syaaban bulan untuk menyirami tanaman dan di bulan Ramadan pula adalah bulan memungut hasil.”
Barang siapa di bulan Rejab tidak menanam dan juga tidak menyirami, maksudnya dia tidak melakukan sebarang persiapan, lalu berharap untuk menuai di bulan Ramadan, sedangkan sebelumnya tidak menanam apa-apa, maka harapannya itu mustahil tercapai.
Sebab itulah, biasanya di awal Ramadan, umat Islam bersemangat menunaikan puasa dan memperbanyakkan amalan. Namun, menjelang pertengahan bulan, amalannya mula berkurangan. Apa puncanya? Kerana mereka tidak membuat persiapan sewajarnya sebelum Ramadan tiba.
Bulan Syaaban merupakan waktu yang paling sesuai untuk mempersiapkan diri menghadapi Ramadan. Di bulan inilah kita melatih diri melakukan amalan-amalan yang akan diteruskan pada bulan Ramadan. Bermula dengan membiasakan diri berpuasa sunat serta melaksanakan amalan-amalan sunat lain, sebagaimana yang sering dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Hadis daripada Aisyah RA, beliau bersabda yang bermaksud: “Baginda SAW biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa Baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Dan Baginda SAW apabila berbuka sehingga kami katakan bahawa Beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Dan aku tidak melihat Baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat Baginda SAW berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika Baginda SAW berpuasa pada bulan Syaaban. (Riwayat al-Bukhari, no. Hadis 1833 dan Muslim no. Hadis 1956)
Kita digalakkan memperbanyakkan puasa sunat di bulan Syaaban sebagaimana dinyatakan dalam hadis, kerana Nabi SAW sendiri banyak berpuasa pada bulan ini. Amalan ini menjadi persediaan bagi kita menghadapi Ramadan, supaya tidak terkejut dengan perubahan rutin ibadah dan hilang semangat menunaikan puasa.
Namun, sayangnya ramai di kalangan umat Islam tidak merasai kemuliaan bulan ini, sebagaimana tergambar dalam hadis di bawah. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ramai yang lalai dan acuh tak acuh terhadap kedatangan bulan Syaaban, kerana ia terletak di antara bulan Rejab dan Ramadan. Akibatnya, ramai yang lebih sibuk menumpukan perhatian pada keutamaan bulan Rejab dan Ramadan.
Daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata: Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat Engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana Engkau berpuasa di dalam bulan Syaaban? Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabb al-‘Alamin (Allah SWT), maka Aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan Aku sedang berpuasa.” (Riwayat al-Nasa’ie, Kitab Puasa, Bab Puasa Nabi SAW, no. Hadith 2317)
Terdapat beberapa hikmah daripada amalan yang dilakukan pada saat orang lain lalai, iaitu ketika melaksanakan amalan-amalan soleh:
1. Amalan sunat yang disembunyikan lebih utama daripada yang ditampakkan, terutamanya puasa, kerana orang tidak mudah mengetahui bahawa seseorang sedang berpuasa berbanding solat, kecuali solat malam.
Baginda bersabda yang bermaksud: “Solat yang paling utama selepas solat fardu ialah solat malam (tahajjud).” (Hadis Riwayat Muslim)
Mengapa ia dianggap ibadah utama? Kerana dilakukan ketika orang lain sedang tidur dan tiada sesiapa yang menyaksikannya, sama seperti ketika berpuasa yang dilakukan secara diam-diam dan ikhlas kerana Allah SWT. Dan tiada siapa yang akan tahu bahawa kita sedang berpuasa.
2. Melaksanakan ibadah pada waktu manusia lain lalai menjadikannya lebih berat dari segi jiwa. Semakin besar kepayahan yang ditanggung (bagaikan menggenggam bara api) untuk melaksanakan ibadah tersebut, semakin besar pula ganjarannya, kerana Allah SWT menilai kesungguhan dan kesukaran yang dihadapi hamba-Nya ketika beribadah
3. Orang yang menyendiri atau beribadah secara bersendirian memisahkan diri daripada golongan yang melakukan maksiat. Keadaan ini menjadi salah satu penyebab bala’ tidak menimpa sesuatu negeri, kerana masih ada individu yang berusaha memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amalan-amalan soleh mereka, sambil mengajak orang lain melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.
Nabi SAW tidak pernah berpuasa penuh sepanjang bulan Syaaban, kecuali pada bulan Ramadan. Sementara hadis yang menyebut bahawa Nabi SAW berpuasa sepanjang bulan Syaaban kecuali beberapa hari, boleh difahami dari sudut bahasa bahawa seseorang yang kerap berpuasa boleh dikatakan berpuasa sebulan penuh, sama ada kerana kebiasaannya itu atau kerana beliau telah berpuasa sebahagian besar daripada bulan tersebut.
Salah satu hikmah menggalakkan kita memperbanyakkan puasa pada bulan ini ialah kerana pada bulan Syaaban, amalan tahunan kita diangkat oleh para malaikat kepada Allah SWT. Kita juga dituntut untuk sentiasa memperbanyakkan amal soleh serta memohon keampunan daripada-Nya. Semoga dengan itu, Allah SWT menempatkan kita dalam kalangan orang beriman dan mereka yang sentiasa taat kepada-Nya.
Dan Menurut Al-Imam Ibn Rajab Al-Hambali, puasa Syaaban adalah persediaan terbaik dalam menyambut Ramadan. Menurut beliau, berpuasa di bulan Syaaban pada hakikatnya adalah sesi latihan untuk melatih fizikal seseorang itu supaya bersedia sebelum dia memasuki fasa tarbiah di bulan Ramadan. Kata Ibn Rajab:
“Dan dikatakan bahawa puasa di bulan Syaaban itu mempunyai maksud yang tersendiri iaitu puasa pada bulan tersebut seumpama latihan untuk persediaan berpuasa dalam bulan Ramadan supaya apabila masuk ke bulan Ramadan, seseorang itu tidak merasa susah dan terbeban bahkan dia telah bersedia kerana telah dilatih sebelum itu.” (Laṭāif al-Maʿārif, 1/134)
Lebih menarik lagi, al-Imam Ibn Rajab turut menjelaskan bahawa sebaik-baik puasa itu adalah puasa sebelum dan selepas bulan Ramadan (iaitu puasa pada bulan Syaaban dan Syawal). Ini kerana, puasa pada bulan ini seumpama solat sunat rawatib yang menampung kekurangan dan kelompangan amalan yang berlaku ketika kita menunaikan solat fardu. (Lihat, Laṭāif al-Maʿārif, 1/129).
Maka dengan itu, ketika amalan kita diangkat kepada Allah SWT, semoga ia diterima sebagaimana harapan Nabi SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid. Mohonlah kepada Allah SWT agar setiap amal kita diterima, sebagaimana doa Nabi Ibrahim AS selepas mendirikan Kaabah.
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” (Al-Baqarah: 127)
Maka, marilah kita memohon kepada Allah SWT agar setiap amalan kita diterima di sisi-Nya. Sentiasalah berusaha memperbanyakkan amalan soleh seperti memperbanyak puasa sunat, berdoa, membaca dan mengkhatamkan al-Quran, menjauhi maksiat, menambah solat sunat dari kebiasaan biasa (contohnya solat dhuha dari dua rakaat kepada empat rakaat), bersedekah, berzikir, beristighfar kepada Allah SWT, menyambung silaturrahim, dan lain-lain. Semua amalan ini hendaklah dimulakan dari sekarang, khususnya pada bulan Syaaban ini, dengan ikhlas, itqan, tawakal dan istiqamah.
Antara keistimewaan bulan Syaaban ialah terdapatnya malam Nisfu Syaaban. Apa yang istimewa pada malam Nisfu Syaaban ini? Terdapat banyak hadis yang menjelaskan kelebihannya, antaranya:
Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Syaaban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.” (Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380)
Syaitan sentiasa berusaha menyesatkan manusia melalui perbuatan syirik (mensyirikkan Allah SWT) dan permusuhan (menyimpan dendam). Dia tidak pernah berhenti cuba mengajak manusia melakukan kesyirikan. Namun, apabila syaitan berputus asa menyesatkan seseorang, Nabi SAW bersabda sebagaimana maksud di bawah:
Jabir RA meriwayatkan, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya syaitan sudah putus asa akan disembah oleh orang-orang yang salat di Jazirah Arab, akan tetapi ia masih berharap boleh mengadu domba di antara mereka.” (Hadis Riwayat Muslim – Ṣaḥīḥ – 2812)
Nabi SAW menceritakan bahawa Iblis berputus harapan apabila melihat orang-orang beriman yang menunaikan solat tidak lagi menyembahnya atau bersujud kepadanya. Namun, dia masih berusaha terus menyesatkan manusia dengan menimbulkan perseteruan, permusuhan, peperangan, fitnah, dan seumpamanya, agar manusia saling bermusuhan dan api dendam terus menyala tanpa kesudahan. Bagi syaitan, jika manusia melakukan kerosakan terhadap keluarganya, dosanya tidak akan diampunkan oleh Allah SWT, maka syaitan masih mendapat ‘teman’nya di neraka.
Dan hadis seterusnya Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Allah SWT melihat pada malam nisfu Syaaban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]
Maka, marilah kita merenungi kedua-dua hadis di atas, bahawa Allah SWT mengampunkan hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban. Ini bermakna kita perlu berhati-hati agar tidak melakukan syirik dan tidak menyimpan dendam, supaya dosa-dosa kita diampunkan. Kita perlu muhasabah diri, menilai keadaan hati kita, dan berusaha mendekati mereka yang memusuhi kita dengan menghulurkan salam persaudaraan, agar sengketa tidak berpanjangan.
Sentiasalah kita sedar akan bahaya menyimpan dendam terhadap sesama manusia, kerana Allah SWT tidak mengampunkan dosa orang yang masih menaruh dendam di dalam hati. Begitu juga, amalan kita dibentangkan kepada Allah SWT setiap hari Isnin dan Khamis, kecuali bagi mereka yang melakukan syirik atau permusuhan dengan saudaranya. Oleh itu, marilah kita berusaha meninggalkan kedua-dua perkara ini, kerana ia menjadi sebab dosa-dosa kita tidak diampunkan sehingga kita benar-benar bertaubat kepada Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku kebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” (Riwayat al-Tirmizi (747)] [Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib)
Daripada Usamah bin Zaid, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dua hari tersebut akan dibentangkan amalan-amalan kepada Tuhan sekalian alam. Maka aku lebih suka jika amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” (Riwayat al-Nasa’ie (2358))
Akhirnya, dengarlah pesanan Syaikh Sulaiman Ar-Ruhaily sebelum memasuki bulan Ramadan:
“Tiada persiapan seorang mukmin dalam menyambut bulan Ramadan yang lebih mulia daripada:
1. Memperbanyak puasa sunat di bulan Syaaban.
2. Memperbanyak membaca al-Qur’an sepanjang bulan Syaaban.
3. Meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT.
4. Bertaubat dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha) dari segala dosa.
5. Mengurangkan ucapan yang sia-sia dan tidak bermanfaat.
6. Membiasakan diri meninggalkan perkara yang melalaikan dan menyibukkan, seperti media sosial.
7. Memiliki tekad yang ikhlas untuk mengambil manfaat sepenuhnya dari bulan penuh keberkatan ini (Ramadan) dan sentiasa mengingatkan diri mengenai betapa cepatnya ia akan berlalu.”
Semoga, Allah SWT menempatkan kita dalam kalangan orang yang beriman dan sentiasa taat kepada-Nya. Semoga Allah SWT menerima setiap amalan kita dan mengampunkan segala dosa-dosa kita. Menjelang Ramadan yang semakin hampir ini, marilah kita memohon agar Allah SWT sentiasa memberkati dengan taufiq dan hidayah-Nya, agar setiap amalan yang kita lakukan selari dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Aamiin.
Wallahu’alam
FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 31/1/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











