PAS mahu PN diperkukuh, tunggu ‘full-council’

SetPol perjelas sebab Presiden PAS tak hadir ‘pre-council’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik (SetPol) Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman memberitahu, berlaku perubahan jadual saat akhir di pihak Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Makluman itu sebagai menyatakan sebab ketidakhadiran Tuan Guru ke pertemuan ketua parti komponen Perikatan Nasional (PN) di kediaman Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Md Yasin malam tadi.

Beliau yang juga Penolong Setiuasaha Agung PAS berkata, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah memaklumkan sebab ketidakhadiran itu kepada Muhyiddin.

- Advertisement -

Menurut Syahir, pandangan Tuan Guru Abdul Hadi juga telah disampaikan secara bersurat kepada semua Presiden parti anggota Perikatan Nasional (PN).

“Setakat ini kita belum terima apa-apa makluman berkaitan hasil mesyuarat ‘pre-council’ (semalam). Jadi kita tunggu panggilan mesyuarat ‘full-council’ untuk muktamadkan hal-hal berbangkit,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bachok itu menegaskan, di pihak PAS, segala urusan mahu dijalankan mengikut Perlembagaan dan peraturan yang sah bagi memastikan PN terus diperkukuhkan.

“Penegasan Tuan Guru dan (Timbalan Presiden PAS), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS mahu PN diperkukuhkan. Kita juga difahamkan, BERSATU mentafsirkan Muhyiddin masih Pengerusi PN yang sah. Jadi kita tunggulah perkembangan selanjutnya,” katanya.

Pada 23 Januari, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membuat panggilan rasmi bagi mengadakan Mesyuarat Luar Biasa PN, menyusuli pandangan Tuan Guru Abdul Hadi pada 10 Januari untuk PN segera memanggil Mesyuarat Tergempar.

Bagaimanapun, mesyuarat dijadual semalam itu difahamkan telah diminta batal dan Muhyiddin mahu menggantikannya dengan ‘pre-council’ di kediaman beliau melibatkan Presiden empat parti gabungan itu.

Jemputan ‘pre-council’ melalui surat itu bagaimanapun tersebar secara terbuka kepada media di mana turut menyatakan beberapa perkara yang menurut Muhyiddin sebagai kesepakatan BERSATU dan PAS pada pertemuan 16 Januari lalu.

Antaranya rombakan struktur dengan mewujudkan Majlis Presiden diketuai BERSATU dan Majlis Eksekutif diketuai PAS serta memansuhkan jawatan Pengerusi PN, sekali gus meminda Perlembagaan PN.

Sekali lagi perkara tersebut mengejutkan banyak pihak apabila PAS menyangkal butiran dinyatakan itu dibincangkan dan dipersetujui khususnya berkaitan mewujudkan Majlis Presiden dan memansuhkan jawatan Pengerusi PN itu. – HARAKAHDAILY 30/1/2026

- Advertisement -