Majid Majidi hadir meriahkan Festival Filem Iran 2026 KL

Majid Majidi (gambar besar pada skrin) bakal hadir pada Festival Filem Iran (IFF) ke-4 di Malaysia.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Festival Filem Iran (IFF) ke-4 kembali mewarnai landskap sinema tempatan apabila edisi 2026 bakal berlangsung dari 6 hingga 8 Februari ini di empat bandar utama negara, dengan tumpuan kepada karya-karya unggul sinema Iran kontemporari.

Kaunselor Kebudayaan Republik Islam Iran di Malaysia, Dr. Habibreza Arzani, berkata sinema berperanan sebagai bahasa sejagat yang mampu merapatkan hubungan antara negara dan budaya.

- Advertisement -

Menurutnya, enam filem terpilih akan dipersembahkan pada edisi kali ini, mencerminkan kekuatan penceritaan dan nilai kemanusiaan sinema Iran.

“Sorotan utama festival ini ialah kehadiran pengarah bertaraf dunia, Majid Majidi, dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Kelas induk (masterclass) bersama Majidi akan dianjurkan di FINAS Malaysia dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), sekali gus membuka peluang berharga kepada pensyarah, pelajar dan pembikin filem tempatan untuk menimba ilmu daripada antara pengarah paling berpengaruh di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media IFF 2026 yang diadakan di GSC Mid Valley Megamall, pada Selasa, yang menghimpunkan tokoh perfileman Malaysia, ahli akademik serta wakil media.

Sehubungan itu, Majidi turut merakamkan penghargaan terhadap kerjasama strategik bersama Golden Screen Cinemas (GSC) International Screens dan FINAS dalam menjayakan festival berkenaan.

Sementara itu, mantan Pengerusi FINAS, Dato’ Kamil Othman menampilkan analisis mendalam mengenai konsep ‘Author Cinema’ Iran.

Beliau memuji gaya penceritaan pengarah tersohor seperti Majid Majidi, Asghar Farhadi dan Abbas Kiarostami, yang disifatkan berjaya menggabungkan identiti tempatan dengan tema kemanusiaan sejagat.

“Sinema Iran wajar dijadikan rujukan oleh pembikin filem Malaysia kerana pendekatan kreatif yang sederhana namun sarat nilai kemanusiaan, selain terbukti berkesan dalam memperkenalkan budaya nasional ke pentas antarabangsa,” katanya.

Perkembangan industri filem Iran, khususnya dalam bidang animasi, turut disentuh Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Ts. Dr. Mohamad Razeef Shah Mohmad Rafik,

Beliau menyorot filem animasi berjudul, Dreamland, yang ditayangkan dalam edisi kali ini, sebagai contoh kecemerlangan visual dan piawaian teknikal tinggi animasi Iran.

“Kemajuan teknikal Iran serta kejayaan di festival antarabangsa membuka ruang kepada kerjasama akademik dan penyelidikan yang lebih luas antara universiti di Malaysia dan penggiat seni Iran,” ujarnya.

IFF 2026 akan menampilkan enam filem yang ditayangkan di pawagam GSC terpilih di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kota Kinabalu, Sabah, iaitu The West Sky, Ahmed, Tear of the Reedbed, Dreamland (animasi), Guardian of the Field dan The Weeping Willow arahan Majid Majidi.

Semua tayangan adalah percuma kepada orang ramai, dengan tiket boleh ditebus secara siapa cepat, dia dapat, satu jam sebelum setiap tayangan di lokasi GSC yang terlibat.- HARAKAHDAILY 28/1/2026

- Advertisement -