Mengapa perlu garis panduan baharu bawa anjing ke pusat beli-belah?

- Advertisement -

KERAJAAN Negeri Selangor kata nak buat garis panduan jelas untuk membenarkan pemilik binatang peliharaan untuk membawa peliharaan mereka ke pusat membeli belah. Benda ini lepas kecoh kes Sunway Mall umum jadi ‘pet-friendly mall’.

Exco Kerajaan Negeri Selangor Ng Suee Lim kata, Selangor sebagai negeri yang maju dan progresif perlu ada garis panduan jelas untuk membenarkan bawa anjing ke pusat beli belah. Dia kata ramai pemilik anjing minta nak bawa anjing mereka jalan jalan.

Saya sebenarnya tak faham dengan pemikiran Kerajaan Negeri Selangor. Dia duk ikut gaya hidup minoriti dan trend Barat sangat dah kenapa? Kita ni negara majoriti Muslim dan semua polisi dan garis panduan mesti dinilai dalam kerangka agama, sensitiviti masyarakat majoriti dan kestabilan sosial.

- Advertisement -

Kerajaan Negeri Selangor sepatutnya menjaga sensitiviti umat Islam, bukan mencabar atau kaburkan atas nama keterbukaan. Sangat salah sebenarnya.

Ada hujah kata mall, restoran dan premis perniagaan adalah ruang awam. Ni satu lagi falasi yang cuba digunakan untuk kaburkan pemikiran kita.

Pusat beli-belah, restoran, kedai runcit dan premis perniagaan tertutup sebenarnya bukan ruang awam terbuka seperti taman rekreasi. Ia adalah ruang tertutup yang melibatkan makanan, kebersihan, kesihatan sentuhan fizikal dan ibadah.

Kerajaan Negeri Selangor perlu faham, dalam Islam, isu najis mughallazah, kebersihan, dan kesucian tempat makan bukan benda remeh.

Kita bukan benci kepada haiwan, tetapi ni soal hukum hakam dan amalan agama. Membenarkan haiwan dibawa masuk ke ruang tertutup akan mewujudkan kekeliruan, keresahan dan tekanan kepada umat Islam, khususnya peniaga dan pelanggan Muslim.

Selain itu, kenapa Kerajaan Negeri duk besarkan sangat hak minoriti dan mencabar hak majoriti? Kalau ada minoriti pemilik anjing yang nak bawa anjing mereka, bagaimana hak majoriti pelanggan yang tidak suka, tidak boleh, alergi dan sebagainya terhadap anjing atau binatang lain.

Ada manusia yang alergi kepada binatang dan alergi ini boleh membawa kepada masalah kesihatan. Bukankah hak golongan ini juga perlu diambil kira?

Membenarkan binatang masuk ke kawasan awam seperti mall, restoran dan kedai akan ada risiko kesihatan kepada pengunjung lain. Risiko penyakit berjangkit bawaan binatang akan meningkat.

Selain itu kita dah banyak kes anjing serang budak kecil sehingga cedera parah. Apakah jaminan anjing yang dibenarkan masuk mall nanti tidak akan serang orang ramai dalam mall? Kalau berlaku Kerajaan Negeri Selangor nak ambil tanggungjawab?

“Alah relakslah, nak buat garis panduan saja pun,” kata penyokong Kerajaan Madani.

Kenapa perlu garis panduan? Syarat perlesenan premis perniagaan dalam majoriti PBT dalam Negeri Selangor jelas melarang haiwan peliharaan. Cukup itu sahaja untuk melarang bawa anjing ke mall. Pihak pengurusan mall terikat dengan perkara itu dan mereka boleh jadikan ia sebagai polisi mall mereka.

Kecuali Kerajaan Negeri Selangor ada niat lain? Haaa….Menteri Besar Selangor apa cerita sebenarnya ni?

Ada kawan saya bagi tahu, “Eloklah Kerajaan Negeri Selangor benarkan bawa binatang peliharaan ke ‘mall’. King cobra, scorpion dan black mamba saya dah lama minta jalan-jalan ke mall”.

Saya jawab “Betul juga kan, alang alang Kerajaan Negeri Selangor nak buat garis panduan, pak cik pak cik kat kampung boleh standby bawa lembu kerbau mereka masuk mall. Nak bagi boleh, biar semua boleh”.

Salam hormat,

IR TS DR NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF – HARAKAHDAILY 25/1/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -