
MERUJUK kepada laporan Malaysiakini bertajuk “Keputusan Hadi ‘singkir’ 3 ADUN Perlis belum muktamad”, adalah ditegaskan bahawa ketetapan berhubung keberhentian keahlian tiga (3) bekas ADUN di Perlis merupakan keputusan PAS Pusat, dan bukan arahan peribadi Presiden PAS seperti yang cuba digambarkan.
Sebagai pencerahan, Fasal 15A Perlembagaan PAS (Pindaan 2025) berkaitan Keberhentian Ahli Badan Perundangan PAS telah diluluskan oleh Muktamar PAS dengan sokongan sebulat suara. Di penghujung fasal tersebut dinyatakan dengan jelas bahawa “… keputusan adalah MUKTAMAD”.
Justeru, ketetapan ini adalah keputusan Muktamar, selaku badan tertinggi parti. PAS Pusat hanya melaksanakan keputusan tersebut bagi memenuhi mandat dan hasrat akar umbi parti, mengambil kira betapa seriusnya pelanggaran ini.
Untuk tujuan kejelasan fakta, keputusan PAS Pusat yang dibuat pada 24 Disember 2025 adalah berdasarkan kepada perakuan dan pengakuan (admission & confession) yang telah diberikan sendiri oleh tiga (3) bekas ADUN berkenaan kepada Jawatankuasa Harian PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan di Pejabat Agung PAS pada 21 Disember 2025.
Adapun hubungan antara TG Presiden PAS, TG Mursyidul Am PAS, seluruh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat serta Ahli Majlis Syura Ulama’ sentiasa terpelihara dan kekal utuh, insya-Allah.
Sekian, untuk makluman dan penjelasan.
MOHD SYAHIR CHE SULAIMAN
Setiausaha Politik Presiden PAS
Penolong Setiausaha Agung PAS – HARAKAHDAILY 24/1/2026











