Ibu Cina pertahan keputusan hantar anak ke PASTI

- Advertisement -

SEGAMAT: Tindakan seorang wanita Cina menghantar anaknya ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) mencuri perhatian masyarakat setempat apabila beliau tampil mempertahankan keputusannya.

- Advertisement -

Pendirian ibu muda tersebut susulan pelbagai reaksi dan pertanyaan diterima, termasuk mesej peribadi yang menyatakan ketidaksetujuan terhadap pilihannya itu.

Ibu berkenaan, Zhu Er Chan berkata, prasekolah beraliran Islam-Melayu itu dipilih kerana terletak di kampung halamannya sendiri di Cha’ah, tempat beliau membesar dan yang masih didiami ibunya sehingga kini.

“Tadika PASTI Cha’ah berada (terletak) di kampung saya sendiri. Mak saya juga masih tinggal di sini. Saya lihat tadika ini sesuai dan memberi peluang kepada anak saya untuk tumpang belajar,” katanya.

Menurut beliau, terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan keputusannya menghantar anak ke sekolah agama beraliran Melayu, malah ada yang menyampaikan pandangan menggunakan bahasa kurang sopan.

Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak melayan kritikan tersebut.

Sebaliknya, Zhu Er Chan menzahirkan penghargaan terhadap sikap serta pendekatan guru-guru di PASTI Cha’ah yang disifatkan sebagai sangat baik dan penyayang terhadap kanak-kanak.

“Saya rasa bagus anak boleh belajar budaya lain. Kita hidup dalam masyarakat majmuk,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa selepas kira-kira tiga bulan mengikuti sesi pembelajaran di tadika tersebut, anaknya menunjukkan perkembangan positif, termasuk sudah mampu menyebut beberapa perkataan asas dalam Bahasa Melayu serta menyanyikan lagu-lagu Melayu.

Tambahnya, anaknya juga kelihatan gembira dan seronok mengikuti aktiviti pembelajaran yang dijalankan di tadika berkenaan.

Dalam pada itu, Zhu Er Chan merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang memberikan sokongan serta komen positif, khususnya mereka yang menzahirkan kasih sayang terhadap anaknya.

“Walaupun tidak sempat membalas setiap komen yang diterima, semua maklum balas tersebut telah dibaca dan amat dihargai,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2026

- Advertisement -