Ramai bimbang kelas sesak, guru ‘kejar’ sana sini

Darjah Satu usia enam tahun mulai 2027

Dr Anuar Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan kemasukan anak-anak berusia enam tahun ke Tahun Satu pada tahun 2027 menimbulkan kebimbangan terhadap beberapa perkara asas.

Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad berkata terdapat dua kebimbangan utama yang sering dibangkitkan ibu bapa iaitu sama ada jumlah guru Tahun dan bilangan bilik darjah mampu menampung pertambahan murid.

- Advertisement -

Menurutnya, ibu bapa sememangnya berharap hari pertama anak-anak melangkah ke alam persekolahan berjalan lancar serta berada dalam persekitaran yang selesa.

“Janganlah hari pertama anak-anak menjadi pengalaman yang pahit dengan keadaan kelas yang sesak dan guru yang ‘terkejar’ ke sana sini sebab tak cukup,” katanya dalam media sosial miliknya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) menyatakan, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu segera berkongsi maklumat dengan rakyat berhubung perancangan untuk menguruskan dua kebimbangan berkenaan.

“Sekiranya kementerian tidak mampu menguruskannya sepenuhnya, perkara itu wajar dimaklumkan lebih awal kerana ibu bapa mampu memahami situasi sebenar.

“Jika dibiarkan dua persoalan ini tidak terjawab, saya bimbang semakin lama semakin merebak pula spekulasi yang tidak benar, dan hanya akan meningkatkan kebimbangan ibu bapa,” tegasnya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, mulai 2027, ibu bapa diberi pilihan secara sukarela untuk mendaftarkan anak berusia enam tahun ke Tahun 1 berdasarkan tahap kesediaan yang ditentukan melalui saringan diagnostik.

Struktur pendidikan tidak berubah dengan enam tahun pendidikan rendah dan lima tahun menengah, manakala pelaksanaan tidak dibuat secara tergesa-gesa.

Kementerian Pendidikan dilaporkan sedang memperkukuh persediaan termasuk menambah kelas prasekolah, bilik darjah dan keperluan guru. – HARAKAHDAILY 21/1/2026

- Advertisement -