
KUALA LANGAT: Sistem penternakan babi secara tradisional yang menjadi punca pencemaran bau dan air di daerah ini yang kritikal bukan sahaja menjejaskan orang Melayu, malah meresahkan masyarakat Cina dan India setempat.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tahap pencemaran akibat pelepasan sisa terus ke parit dan laut sudah sampai ke tahap tidak boleh ditoleransi lagi oleh mana-mana kaum.
Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri Selangor perlu mengambil tindakan serius merealisasikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar ladang-ladang ini ditutup segera, dipindahkan dan dinaik taraf kepada sistem ladang moden (‘modern farming’).
“Apa yang berlaku di sini adalah ladang ternakan secara tradisional. Kita lihat tadi beberapa kolam mengalirkan bahan kumbahan ke parit, sungai dan akhirnya ke laut (Selat Melaka/Pantai Tumbuk).
“Saya kira semua masyarakat tidak kira Melayu, India ataupun Cina, mereka tidak boleh bertoleransi dengan keadaan sistem ternakan babi seperti ini. Seharian babi dimandikan, najis sentiasa mengalir tanpa kira masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di kawasan ladang ternakan babi di Tanjung Sepat, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan dan Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Selangor, Sabirin Marsono.
Ahmad Yunus turut meluahkan kebimbangan mengenai aspek kawalan penyakit, merujuk kepada wabak African Swine Flu (ASF) baru-baru ini yang menyebabkan kematian puluhan ribu ternakan.
Menurutnya, pengurusan bangkai haiwan tersebut amat mendukacitakan apabila terdapat insiden bangkai dibuang berdekatan sungai sehingga penduduk terpaksa menanamnya sendiri.
“Jika berlaku ‘outbreak’, kawalannya mesti ketat. Di Sijangkang tempoh hari, ada longgokan babi dibuang dekat sungai. Ini perkara yang sangat tidak harus berlaku.
“Justeru, kita mengalu-alukan modern farming yang lebih mudah diurus, sifar pelepasan (zero discharge) dan lokasi baharu itu mestilah menjamin tidak berlaku pencemaran bau serta air,” jelasnya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang pemindahan atau pembangunan ladang baharu mestilah mematuhi titah Sultan Selangor bahawa ia hanya untuk keperluan domestik, bukan untuk tujuan eksport. – HARAKAHDAILY 21/1/2026











