PAS bukan sekadar parti politik pilihan raya

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bukan sekadar sebuah parti politik yang terlibat dalam pilihan raya, sebaliknya turut berperanan sebagai gerakan dakwah yang melibatkan pelbagai lapangan lain.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara itu dihuraikan dalam Program Tamrin Asas PAS peringkat negeri Pahang baru-baru ini, yang menekankan konsep PAS sebagai parti politik dan gerakan dakwah.

- Advertisement -

Menurutnya, penglibatan PAS dalam politik pilihan raya sering dilihat seolah-olah membataskan peranan parti itu dalam bidang lain seperti dakwah, pendidikan dan kebajikan.

“Dalam pemikiran masyarakat, sebuah parti politik hanyalah terlibat dalam gerak kerja pilihan raya sahaja seperti kempen dan culaan pengundi, menyediakan manifesto dan seumpamanya,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa amalan itu sememangnya dilakukan oleh semua parti politik dalam negara yang mengamalkan demokrasi pilihan raya, termasuk PAS.

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk ini juga menyatakan, setiap parti mengemukakan agenda perjuangan masing-masing bagi meyakinkan rakyat untuk memberi sokongan dan mengundi dalam pilihan raya.

“Umno membawa tajuk nasionalisme Melayu, DAP membawa tajuk, ‘Malaysian Malaysia’, manakala PKR membawa tajuk kesamarataan dan keadilan untuk semua.

“Begitulah seterusnya dengan hanya menyebut beberapa parti. PAS pula membawa agenda politik Islam sebagai teras perjuangannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/1/2026

- Advertisement -