
KOTA BHARU: Isu obesiti dan diabetes kini menjadi antara cabaran kesihatan awam paling serius, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global, sekali gus menuntut pendekatan rawatan dan pencegahan yang lebih menyeluruh serta berkesan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, penganjuran simposium kesihatan yang membincangkan prosedur bariatrik amat bertepatan dengan realiti semasa kerana obesiti tidak lagi boleh dilihat sebagai isu kosmetik atau gaya hidup semata-mata.
“Sebaliknya, obesiti telah berkembang menjadi isu penyakit kronik, isu ekonomi, isu sosial, malah memberi kesan kepada ibadah dan kualiti hidup umat manusia,” katanya.
Menurut beliau, obesiti merupakan punca kepada pelbagai penyakit serius termasuk diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, kegagalan buah pinggang serta pelbagai komplikasi lain yang memberi mudarat besar kepada individu dan masyarakat.
Katanya, keadaan itu bukan lagi isu remeh, sebaliknya satu kemudaratan nyata yang wajib ditangani secara ilmiah, beretika dan berlandaskan prinsip syarak.
Hilmi turut menjelaskan bahawa walaupun kos rawatan bariatrik mungkin kelihatan besar pada peringkat awal, hakikatnya kos yang terpaksa ditanggung akibat komplikasi penyakit diabetes, rawatan dialisis, pembedahan jantung serta rawatan kronik jangka panjang adalah jauh lebih tinggi.
“Selain membebankan sistem kesihatan, komplikasi ini turut merugikan masa dan menjejaskan kesejahteraan serta kehidupan berkeluarga pesakit,” katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri Simposium Kesihatan yang membincangkan prosedur bariatrik anjuran Klinik Perubatan An-Nisa dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan kerjasama pakar perubatan dari Qurus Clinic, Dr Abdul Ghafoor dan Dr Ahmad Khiril Irham.
Simposium yang berlangsung di sebuah hotel di sini semalam turut menampilkan sesi perkongsian oleh Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Kelantan, Tuan Zamani Amir Tuan Zakaria; Senator Dr Wan Martina Wan Yusof serta pakar dietitian, Nurhanna Aqilah.
Program berkenaan disertai pengamal perubatan am termasuk pakar bariatrik, pakar perubatan keluarga serta warga kesihatan primer dari seluruh negeri. –HARAKAHDAILY 21/1/2026











