
KUALA LANGAT: Cadangan memindahkan ladang ternakan babi ke kawasan seluas 500 ekar di Bukit Tagar dipersoal kerana berisiko mengancam keselamatan sumber air mentah utama bagi rakyat Selangor dan Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, lokasi tersebut berada di kawasan hulu sungai yang menjadi punca kepada Sungai Selangor, yang membekalkan 60 hingga 70 peratus air terawat di negeri ini.
Beliau menegaskan, walaupun sistem ladang moden (modern farming) dicadangkan, risiko kebocoran atau pecah kolam takungan tetap wujud dan impaknya bakal melibatkan lima Loji Rawatan Air (LRA) utama.
“Kawasan Bukit Tagar ada kepentingan tertentu sebab situ adalah aliran air (bit stream) daripada sumber air di negeri Selangor.
“Walaupun mungkin secara tertutup, kita kena melihat risiko jika berlaku kebocoran atau pecah masuk ke sungai, rakyat Selangor dan Kuala Lumpur akan terkesan dengan sumber air bersih ini,” katanya selepas meninjau isu pencemaran ladang babi di Tanjung Sepat, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan dan Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Selangor, Sabirin Marsono.
Selain isu lokasi, Ahmad Yunus turut mempersoalkan keluasan tanah 500 ekar yang diperuntukkan, ia disifatkan terlalu besar dan mencurigakan jika benar ia hanya untuk kegunaan tempatan seperti yang dititahkan Sultan Selangor.
Menurut kiraan beliau, keluasan tersebut mampu menampung kapasiti jutaan ekor babi, yang melangkaui keperluan domestik rakyat negeri ini.
“Saya ingat 500 ekar (202 hektar) itu terlalu besar. Kalau ikut kiraan kepadatan, 200 hektar boleh menempatkan sehingga dua juta ekor babi.
“Sedangkan titah Tuanku Sultan jelas, ternakan ini hanya untuk keperluan mereka yang mengambilnya sebagai sumber protein, bukan untuk tujuan eksport. Jika untuk keperluan tempatan, mungkin 100 ekar atau kurang sudah memadai,” tegasnya.
Mengulas cadangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) agar Selangor menghentikan terus penternakan babi dan hanya bergantung kepada import atau bekalan dari negeri lain seperti Sarawak dan Pulau Pinang, Ahmad Yunus mengakui itu adalah langkah terbaik demi menjaga tanah Selangor yang pesat membangun.
“Rakyat Selangor pun tak nak tanah ladang yang memberikan kesan (pencemaran) seperti ini. Kebijaksanaan Kerajaan Negeri ditagih untuk memastikan sebarang keputusan mematuhi keperluan teknikal yang ketat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/1/2026











