
KUALA LANGAT: Ekosistem perairan Selat Melaka kini dikhuatiri sedang berdepan ancaman pencemaran serius akibat kegagalan sistem pengurusan sisa kumbahan di ladang-ladang ternakan babi di kawasan ini.
Tinjauan PAS Pusat mendapati sisa najis dari ladang ternakan tersebut disalurkan tanpa mengikut piawaian yang ditetapkan, malah dipercayai mengalir terus ke laut tanpa rawatan yang sepatutnya.
Ketua Penerangannya, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari melahirkan kebimbangan mengenai skala kerosakan alam sekitar yang sedang berlaku di perairan tersebut yang terletak berhampiran dengan kawasan penduduk.
“Apa yang kita lalui tadi ialah najis babi disalurkan tidak mengikut piawaian sebenar. Sistem kumbahan tidak dilaksanakan dengan betul.
“Dan akhirnya, kita dapat melihat sisa itu tadi nak masuk ke laut (mengalir ke arah laut). Kita tidak tahu betapa besarnya pencemaran yang sedang berlaku di laut Selat Melaka di belakang saya pada ketika ini,” tegasnya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian selepas meninjau sendiri keadaan parit dan saliran di sekitar ladang ternakan babi di Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat, hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Ahmad Yunus Hairi dan Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Selangor, Sabirin Marsono
Ahmad Fadhli menyatakan juga, situasi berkenaan bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan akibat bau busuk kepada penduduk setempat, malah berpotensi menjadi bom jangka kepada kualiti air laut dan hidupan marin jika tidak dibendung segera.
Justeru, beliau mempersoalkan peranan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam memantau pelepasan sisa tersebut ke perairan umum.
“Kita persoalkan apa langkah Jabatan Alam Sekitar dalam isu ini. Adakah JAS sentiasa datang untuk tengok bagaimana isu ini diselenggara dengan baik?
“Sepatutnya Kerajaan Persekutuan melalui JAS dan Jabatan Veterinar wajib campur tangan dan menyelesaikan isu ini dengan kadar segera,” ujarnya.
Walaupun dilaporkan operasi ladang kini hanya berjalan sekitar 30 peratus berbanding kapasiti asal akibat serangan virus tahun lalu, tinjauan mendapati sisa buangan masih menjadi isu kritikal yang gagal diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
PAS mendesak agar titah Sultan Selangor supaya ladang-ladang babi di kawasan ini ditutup dan dipindahkan dilaksanakan serta-merta bagi menyelamatkan penduduk dan alam sekitar daripada terus menjadi mangsa pencemaran. – HARAKAHDAILY 21/1/2026











