ADUN Sungai Bakap, Jabatan Amal gempur Aedes

Abidin Ismail menyantuni penduduk sekitar Pekan Sungai Bakap.
- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail turun padang mengetuai Program Gotong-Royong Perdana Membasmi Aedes di sekitar Pekan Sungai Bakap, di sini.

Program yang bermatlamat membersihkan persekitaran dan membasmi tempat pembiakan nyamuk itu turut disertai oleh anggota Jabatan Amal Nibong Tebal yang sentiasa komited berkhidmat untuk masyarakat.

- Advertisement -

Abidin melahirkan rasa bersemangat melihat kerjasama erat yang ditunjukkan antara agensi kerajaan dan penduduk setempat dalam menjayakan program tersebut.

“Program murni ini melibatkan sinergi padu daripada pelbagai pihak termasuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan para sukarelawan.

“Ini bukti nyata bahawa apabila komuniti bersatu hati, persekitaran kita akan lebih bersih, sihat, dan selamat daripada ancaman penyakit,” katanya.

Selain aktiviti pembersihan kawasan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengambil inisiatif menyediakan pertukaran aerosol percuma bagi meningkatkan kesedaran pencegahan demam denggi dalam kalangan penduduk.

Suasana gotong-royong tersebut turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah untuk para peserta yang hadir.

Dalam pada itu, Abidin turut meluangkan masa menyantuni para peniaga dan penduduk sekitar bagi bertanya khabar serta berkongsi pesanan mengenai kepentingan menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelakkan wabak denggi.

“Usaha bersepadu ini diharapkan dapat memastikan Pekan Sungai Bakap kekal sebagai kawasan yang selamat dan bebas daripada ancaman Aedes,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/1/2026

- Advertisement -