Penyertaan Umno akan lengkapkan Muafakat Melayu

Annuar Musa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muafakat orang Melayu telah terbentuk dan wujud tanpa Umno, namun penyertaan parti itu dilihat mampu melengkapkan lagi penyatuan sedia ada, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuktikan undi orang Melayu secara majoriti telah berpadu dengan pola sokongan yang jelas, manakala perpecahan berlaku apabila Umno memilih untuk ‘mufarakah’ serta mengangkat kelompok yang tidak mendapat sokongan orang Melayu.

- Advertisement -

“Secara organisasi orang Melayu menjadi agak keliru dan ‘devided’ kerana terpaksa mengikut parti dan pemimpin masing-masing. Mereka di asak dengan pelbagai naratif dan justifikasi agar menyokong kehendak pemimpin,” katanya.

Annuar yang juga Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS berkata, sehingga kini ‘suara Melayu’ masih utuh dan berpadu, termasuk dalam kalangan ahli Umno sendiri.

Menurutnya, di peringkat organisasi, tujuh parti Melayu telah pun berpadu dan beberapa gagasan seperti Muafakat Nasional, Sekretariat Orang Melayu, Payung Besar Melayu dan Ikatan Prihatin Rakyat menjadi manifestasi penyatuan yang semakin mengukuh.

“Namun semua ini (berlaku) tanpa Umno, yang kepadanya pintu sentiasa dibuka,” jelasnya yang juga bekas Setiausaha Agung Umno.

Beliau berkata, isyarat yang disampaikan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini memberi sedikit petanda positif, namun masih kabur dan bercampur baur, menyebabkan ia dinilai secara cermat oleh kelompok majoriti.

Tambah Annuar, dalam konteks muafakat Melayu, Umno bukan sahaja berada dalam kedudukan minoriti, malah dilihat sebagai ‘late comer’ yang masih berteka-teki mengenai pendirian sebenar.

Dalam hal ini, Annuar berkata, lontaran idea Presiden Umno dialu-alukan dari sudut hasrat, namun tidak dari sudut pendekatan dan asas penyatuan yang diketengahkan.

“Sebagai memudahkan pemerkasaan penyatuan Melayu, lebih wajar bagi Umno diundang menyertai gagasan penyatuan Melayu yang sudah terbentuk, dengan dasar dan matlamat yang jelas iaitu memimpin negara,” ulasnya.

Beliau juga menegaskan penyatuan itu bukan bertujuan menjadikan Umno sebagai ‘tiang seri’, ‘pelengkap’, ‘semak dan imbang’ atau ‘king maker’ seperti yang digambarkan sebahagian kepimpinan Umno ketika ini.

Menurut Annuar, muafakat Melayu bukan usaha untuk satu kaum semata-mata, sebaliknya bertujuan memperkukuh tunjang pentadbiran negara, melaksanakan ‘reset nasional’.

“Ia juga mengembalikan hak kepada yang berhak termasuk hak minoriti dan bukan Melayu yang dijamin di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, serta meninggikan syiar Islam selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan.

“Yang diperlukan ialah kesatuan tekad dan wadah parti-parti orang Melayu sebagai teras, tanpa meminggirkan (pihak) yang lain. Insya-Allah, bersatu kita teguh,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/1/2026

- Advertisement -