
AFGHANISTAN bukan sekadar sebuah negara kontang berbatu, bukan semata-mata warganya yang tegar dengan sikap keras dan tidak pandai bermanis mulut. Afghanistan ialah lambang perlawanan sebuah bangsa yang kuat menjiwai agama sejak zaman berzaman. Saat Empayar Pax Britannica menjarah sebahagian daripada dunia, namun tidak mampu mereka menakluki bumi Afghanistan. Etnik Pashtun, Tajik dan Uzbek bukan sembarangan untuk bertekuk lutut mahupun merayu ampun. Britain ditampar malu dengan lelaki berkurta tidak berseluar dalam.
Perang Anglo – Afghan ketiga pada tahun 1919 – 1921 telah menamatkan perang ke atas Afghanistan oleh Empayar Pax Britannica. Sebelum itu, matlamat British ialah untuk memastikan bahawa India Subcontinent (Benua Kecil India) bebas daripada pengaruh Rusia.
Lokasi negara ini seolah bulatan jalan raya yang sangat strategik, hampir dengan Laluan Sutera yang cuba dibangunkan kembali oleh China. Di zaman perang dingin blok kapitalis dan komunis, negara itu juga dalam senarai rebutan dua pola ideologi dunia. Afghanistan melakar sejarah perebutan kuasa besar dunia walau dilihat tidak terlalu ekonomik secara zahir.
Kelompok kelas menengah negara ini agak condong kepada fahaman Komunisme serta Sosialisme. Begitu jugalah dengan tokoh-tokoh penting seperti Nur Muhammad Taraki, Najibullah dan lain-lain sosok pemimpin.
Saat kebangkitan semula Islam melakar kanvas peta dunia Islam, Afghanistan juga memicu minat masyarakat antarabangsa. Penjarahan kuasa Soviet Komunis telah berkolaborasi dengan Parti Komunis Afghanistan. Afghanistan ditawan oleh beruang Komunis Rusia pada 4 Disember 1979, segalanya bertujuan untuk menyelamatkan proksi mereka di Afghanistan. Ini kerana Soviet Komunis sejak dari dekad 1930-an telah mengintai ruang pertapakan ideologi Komunisme di Afghanistan.
Dalam mengisi penaklukan mereka ke atas Afghanistan, Rusia telah memperalatkan pemimpin-pemimpin tempatan seperti Hafizullah Amin dan Babrak Kamal. Umat Islam telah didoktrinkan dengan fahaman komunis secara besar-besaran melalui sistem pendidikan yang diceduk dari Rusia sementara mimbar-mimbar masjid telah dijadikan alat menuangkan propaganda kepada rakyat. Pergaulan bebas, muzik dan arak telah dibudayakan kepada rakyat tempatan.
Kebudayaan kafir yang lucah dan murahan dipaksa terhadap rakyat malah 20,000 biasiswa telah diberikan kepada para belia dan pemuda tempatan untuk menyambung pelajaran ke negara Rusia dan negara-negara komunis yang lain. Pelajar-pelajar ini diharapkan akan menjadi ejen penebar ‘kesesatan Marxisme’ apabila pulang ke tanah air serta menjadi alat politik mereka untuk terus menguasai Afghanistan.
Tidak cukup dengan darah dan besi, Rusia dan munafikin tempatan ini cuba pula untuk meracuni rakyat dengan slogan dan warna Islami seperti latar bendera Afghanistan daripada berwarna merah kepada warna hijau (1980); usaha ini untuk menarik kembali sokongan rakyat dan mengambus kejahatan mereka dalam tahun pertama penjajahan.
Dalam masa yang sama, tokoh-tokoh ulama dan aktivis-aktivis Islam telah digiring ke penjara dan mengalami penyeksaan termasuk dirogol oleh tentera Soviet. Dalam pada itu, Rusia dari semasa ke semasa terus menambahkan jumlah kekuatan anggota tenteranya di Afghanistan.
Pada tahun 1981 sahaja seramai 95,000 orang tentera Rusia telah berada di Afghanistan. Kanak-kanak dan wanita tidak terkecuali daripada menjadi mangsa pembantaian yang tragis ini. Bukit bukau serta gunung ganang yang kontang telah menjadi saksi bisu akan kekejaman ‘Beruang Merah Rusia’ dalam abad ke-20 ini yang akhirnya telah menjadi pemicu kepada kebangkitan Islam sejagat.
Kesan daripada kezaliman inilah maka seruan jihad telah dilancarkan oleh para alim ulama, genderang perang mula ditabuh sahut menyahut di seluruh belahan bumi dan berpusu-pusulah insan beriman menyahut panggilan jihad ini.
Menurut Fadhal Mohammad (2001), fatwa jihad di Afghanistan ini julung kalinya telah dikeluarkan oleh Sheikhul Hadith Pakistan iaitu Maulana Abdul Haq dan Hadrat Mufti Mahmud. Kesannya ialah ulama-ulama dan pelajar-pelajar madrasah merupakan kelompok terawal bangun menentang Soviet walaupun bermula dengan senjata ala kadar.
Ulama-ulama yang soleh yang cintakan kemuliaan Islam telah berani bersuara, membacakan firman-firman Allah mengenai jihad dan kelebihannya serta menghuraikan hadis-hadis Nabi SAW. yang akhirnya telah merangsang semangat jihad pemuda Islam bukan semata-mata warganya sendiri namun akhirnya membuka ruang pada pemuda Islam bukan Afghanistan untuk mengambil peluang berjihad di sana.
Bersambung.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Anggota misi bantuan tanpa sempadan
Penulis dan pendakwah – HARAKAHDAILY 21/1/2026











