
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan penubuhan badan baharu dikenali sebagai ‘Majlis Keamanan’ (Board of Peace) dan melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi, ketika Washington secara rasmi menggerakkan Fasa Kedua rancangan 20 perkara bagi menentukan masa depan Gaza pasca perang.
Pengumuman itu dibuat menerusi platform Truth Social, dengan Trump menggambarkan majlis tersebut sebagai ‘lembaga paling berprestij pernah dibentuk’, meskipun sehingga kini tiada perincian jelas mengenai struktur, mandat sebenar atau penyertaan dunia Islam didedahkan.
Langkah itu menyusuli kenyataan utusan khas AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff, yang mengesahkan bahawa Fasa Dua menandakan peralihan daripada gencatan senjata kepada demiliterisasi, pentadbiran teknokratik dan pembinaan semula Gaza, di bawah kerangka yang digariskan Washington.
AS tentukan masa depan Gaza
Dalam kenyataan terbaharu, Trump mengesahkan sokongan penuh Amerika Syarikat terhadap kerajaan teknokratik Palestin baharu di Gaza, dikenali sebagai Jawatankuasa Kebangsaan untuk Pentadbiran Gaza, yang akan mentadbir wilayah itu sepanjang tempoh peralihan.
“Sebagai pengerusi Majlis Keamanan, saya menyokong kerajaan teknokratik Palestin yang baharu dilantik,” kataNYA, sambil menegaskan bahawa pentadbiran tersebut akan disokong oleh wakil tinggi majlis berkenaan.
Namun, sehingga kini tiada mandat pilihan raya rakyat Palestin diumumkan, dan peranan sebenar Majlis Keamanan yang dipimpin Amerika SyarikaT; menimbulkan persoalan tentang kedaulatan Palestin dan hak menentukan nasib sendiri, yang sekian lama menjadi tuntutan dunia Islam.
Demiliterisasi: Tekanan sepihak ke atas HAMAS
Trump juga menegaskan bahawa tumpuan utama Fasa Dua adalah untuk mendapatkan perjanjian demiliterisasi menyeluruh dengan HAMAS, termasuk penyerahan semua senjata dan pembongkaran rangkaian terowong, selain kepulangan baki tebusan Israel.
Beliau memberi amaran bahawa HAMAS mesti bergerak ‘tanpa berlengah’ ke arah demiliterisasi penuh, atau berdepan akibat serius.
Sementara Witkoff turut mengulangi pendirian Washington bahawa Hamas diwajibkan mematuhi semua syarat pelan tersebut, meskipun tiada jaminan keselamatan jangka panjang atau komitmen jelas terhadap penamatan sepenuhnya pencerobohan Israel dinyatakan secara terperinci.
Bantuan kemanusiaan dijadikan asas legitimasi
Dalam pada itu, Trump mendakwa Fasa Pertama rancangan itu telah menyaksikan penghantaran bantuan kemanusiaan pada skala dan kelajuan tertinggi dalam sejarah sejak gencatan senjata dilaksanakan, sambil mendakwa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf usaha itu sebagai luar biasa.
Witkoff menjelaskan bahawa Fasa Pertama merangkumi pengekalan gencatan senjata, kepulangan semua tebusan yang masih hidup, serta pemulihan mayat 27 daripada 28 tebusan yang terkorban.
Amerika Syarikat juga turut merakamkan penghargaan kepada Mesir, Turkiye dan Qatar atas peranan mereka sebagai pengantara, namun peranan kolektif negara-negara Islam lain masih tidak jelas dalam kerangka Majlis Keamanan yang dicadangkan.
‘Majlis keamanan’ tanpa mandat global
Trump sebelum ini memaklumkan bahawa senarai ahli Majlis Keamanan akan diumumkan pada awal 2026, menyifatkannya sebagai “antara majlis paling legenda,” yang bakal dianggotai raja, presiden dan perdana menteri negara-negara terpenting dunia.
Namun, setakat ini Rumah Putih belum mendedahkan bagaimana majlis itu akan berfungsi bersama PBB, sama ada ia mempunyai asas undang-undang antarabangsa, atau sejauh mana suara Palestin dan dunia Islam akan diwakili.
Pengumuman itu menimbulkan persoalan sama ada masa depan Gaza sedang ditentukan oleh kuasa besar, sementara rakyat Palestin dan umat Islam global terus berdepan ketidaktentuan mengenai keadilan sebenar pasca perang.











