PRN Melaka: Jentera PN Melaka bersiap siaga

PAS kekal dasar penyatuan ummah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS dan Perikatan Nasional (PN) menegaskan kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan pada tahun ini, di samping mengekalkan dasar keterbukaan dalam agenda penyatuan ummah.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persiapan rapi telah dimulakan lebih awal memandangkan tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sudah matang.

- Advertisement -

​“Sama ada dalam konteks parti, kita dah mula buat persiapan lebih awal. Jentera parti bersama Perikatan Nasional di negeri Melaka sudah bersedia.

​“Kita harap kerjasama di Melaka dapat dikukuhkan dan jentera pilihan raya sebenarnya dah ready (bersedia) sebab memang kita jangka tahun ini. Cuma sama ada Pilihan Raya Umum nak ikut Melaka atau tidak, itu sahaja isunya,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Malam Cinta Gaza, semalam.

​Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menegaskan bahawa PAS sentiasa terbuka menerima mana-mana pihak yang ingin bergerak ke arah penyatuan ummah dalam konteks negara ini.

​Jelasnya, penyatuan itu merangkumi pelbagai pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO), parti-parti politik serta golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.

​“Kita menerima sama ada pihak-pihak NGO, parti-parti politik, termasuk juga mereka di kalangan golongan yang non-Muslim yang tidak ekstrem.

​“Kita mengalu-alukan penyatuan ummah ini dapat digagaskan pada semua pihak; parti politik, NGO, badan-badan kerajaan, termasuk juga Islam dan bukan Islam daripada pelbagai kaum yang ada di negara kita,” ujarnya.

​Mengulas lanjut mengenai konsep penyatuan tersebut, beliau menjelaskan bahawa matlamat dan ‘tekak’ umat perlu dilihat sebagai satu kesatuan yang sama dalam perjuangan ini, khususnya dalam kalangan orang Melayu Islam, namun tetap meraikan kepelbagaian kaum yang membentuk masyarakat Malaysia.

​Tuan Ibrahim turut memberi jaminan bahawa PAS tidak mempunyai masalah untuk menguruskan gerak kerja pilihan raya pada bila-bila masa sambil terus memperjuangkan agenda penyatuan rakyat. – HARAKAHDAILY 16/1/2026

- Advertisement -