PASTI: Pendidikan prasekolah Islam terbaik negara ini

- Advertisement -

MINGGU ini riuh geger suara anak-anak PASTI memasuki premis sederhana mereka yang kebanyakannya dibina hasil daripada tabung dana umat. Media sosial pelbagai aplikasi memaparkan euforia gembira anak-anak PASTI, dalam tawa dan esak tangis keliru menjadi sebahagian komuniti tarbiah yang paling dasar untuk mengenali tujuan kehidupan.

Melangkah gagah membina generasi dalam tempoh empat dekad bukanlah sesuatu yang boleh dianggap semudah menghambur aksara, empat dasawarsa menoreh sejarah emas pendidikan negara ini sehingga melahirkan lebih 1.3 juta alumni di seluruh negara.

Kurikulum prasekolah Islam ini banyak kali melalui proses penambahbaikan oleh pemain-pemain utama pendidikan negara ini. Mereka berkhidmat di belakang tabir kerana kekangan rejim tirani yang merasakan harakatul ummah ini adalah pesaing utama kepada mereka.

- Advertisement -

Kecemerlangan PASTI meniti dari bibir ke bibir para pendidik arus perdana, menguasai 3M yang memudahkan pendidikan di peringkat sekolah rendah. Di sekolah arus perdana, alumni PASTI adalah pemimpin dengan bervariasi bakat seperti melaungkan azan, berdoa, membaca bahkan menghafaz al-Quran, berpidato, lincah bersukan serta mempunyai akhlak yang piawai.

Tirai 2026 yang agak mencabar, pastinya institusi ini menjadi rebutan ibu bapa serta penjaga. Tahun lepas dengan seramai 139,091 orang pelajar dengan 9,002 para guru yang ikhlas menabur bakti. Megahnya, PASTI dengan 2,680 buah premis di seluruh negara; di kawasan kelas menengah Melayu sehinggalah kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Demi peningkatan kualiti pendidikan kepada anak-anak PASTI, maka seramai 471 orang para muallimahnya telah bergraduat dalam bidang Pengajian Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Setiap tahun PASTI sentiasa berdepan ujian; serangan sistematik para pembenci, gangguan teknikal juga persaingan antara institusi-institusi prasekolah.

Tahun lepas, institusi ini cuba diganggu lagi dengan alasan yang tidak masuk akal, pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menilai PASTI. Sepatutnya tadika KEMAS yang perlu diangkat kualiti sesuai di bawah portfolio TPM.

Rakyat sejujurnya sedang bertarung hidup untuk menikmati kehidupan yang selesa di mana rata-rata rakyat terpaksa berhemat dalam kehidupan yang nilai wang yang semakin merudum dan kuasa beli yang merosot. Rasuah dan penyelewengan semakin membarah termasuk politik cauvinis yang semakin menampakkan staring, kesannya fatal kepada masyarakat Muslim negara ini.

Ironinya, PASTI telah empat dasawarsa mendidik anak-anak kecil mengenali agama, tiada yang berani meremehkan sumbangan PASTI kerana institusi bukan berorientasi keuntungan ini tegaknya atas nilai keikhlasan para pendukungnya.

PASTI mewarnai sejarah pendidikan prasekolah tanah watan ini sejak dekad 1980-an. Dengan perkembangan pantas landskap politik, ekonomi dan sosial negara ini selepas kemerdekaan, pendidikan prasekolah telah dibangunkan dengan pesat sama ada oleh pihak kerajaan pusat, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kesatuan sekerja setempat, badan-badan Islam seperti PERKIM, persatuan gereja-gereja Kristian, pertubuhan politik ataupun NGO-NGO Islam.

Berlakunya kebangkitan Islam di negara ini dalam dasawarsa 1970-an dan 1980-an telah turut menyemarakkan perkembangan pendidikan  prasekolah yang mana permintaan rakyat terhadap institusi pendidikan prasekolah Islam telah meningkat dengan berlakunya kesedaran Islam dalam keadaan peserta kebangkitan Islam tidak berpuas hati dengan prasekolah konvensional yang sedia ada di negara ini.

Riak untuk menubuhkan pusat prasekolah yang berorientasikan Islam semakin hebat pada penghujung dekad 1970-an, terutamanya apabila kelompok kelas menengah Melayu semakin membesar dan mereka mempunyai kesedaran Islam. Penubuhan tadika-tadika Islam ini juga mempunyai sejarah yang menarik apabila ianya berlaku persefahaman di antara ABIM dan juga Dewan Pemuda PAS Pusat. ABIM diamanahkan untuk menggerakkan institusi prasekolah ini yang dikenali sebagai TASKI (Taman Asuhan Kanak-kanak Islam). Pendukung ABIM pula sebahagian besarnya adalah aktivis-aktivis PAS sehinggalah Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyertai Umno pada tahun 1982 yang menyebabkan sebahagian besar ahli ABIM yang juga aktivis PAS meninggalkan ABIM.

Di Terengganu pada tahun 1985, TASKI telah dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Terengganu, manakala di Kelantan pula pusat pendidikan prasekolah yang ditaja oleh Lajnah Tarbiah Dewan Pemuda PAS Kelantan dikenali sebagai Putra Islam.

Di negeri Kedah pula telah diwujudkan pendidikan prasekolah di bawah kendalian Dewan Pemuda PAS Kedah yang dikenali sebagai Pusat Asuhan Tunas Islam. Dewan Pemuda PAS Kedah yang dipimpini oleh Najib Pahmi Yahaya telah menubuhkan PASTI di setiap kawasan di Kedah yang dikendalikan oleh Pemuda PAS kawasan masing-masing. Menurut Ustaz Fauzi Husain, kebangkitan pendidikan prasekolah PASTI ini berpunca daripada Majlis Ihtifal PASTI bertempat di Bangunan Tepian Gelanggang oleh Almarhum Sultanah Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman iaitu Permaisuri kepada Sultan Kedah sendiri pada penghujung tahun 1988.

Penubuhan PASTI dengan pantas mendapat sambutan di Kedah termasuk pelajar bukan-Islam turut dihantar belajar seperti di kawasan Padang Serai dan Kodiang.   

Perkembangan pesat pendidikan prasekolah di bawah kendalian Dewan-dewan Pemuda PAS Negeri telah menyebabkan timbulnya usul dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1988 supaya diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS. Keprihatinan  pemuda PAS ini juga berkait rapat dengan persaingan agenda kaderisasi dengan pertubuhan-pertubuhan Islam lain di negara ini dan juga manifestasi kekecewaan Pemuda PAS dengan sistem pendidikan negara yang dilihat gagal melahirkan pelajar yang memahami Islam dengan baik.

Dewan Pemuda PAS Pusat yang sewaktu itu dipimpini oleh Almarhum Dato Abu Bakar Chik telah mengambil tindakan susulan daripada usul Muktamar Pemuda PAS itu. Satu tindakan diambil dalam mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai jabatan pendidikan prasekolah dibentuk di peringkat pusat diketuai oleh Dr Abu Bakar Abdullah untuk menyelaraskan pendidikan prasekolah ini.

Pada 29-30 Mei 1988 telah berlangsung seminar prasekolah di Masjid Rusila, Terengganu yang telah dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Seminar ini adalah rentetan daripada keseriusan Dewan Pemuda PAS untuk merakyatkan pendidikan prasekolah yang berorientasikan Islam di negara ini dengan penglibatan PAS dengan lebih sistematik. Dua orang tokoh pendidikan PAS telah membentangkan kertas kerja iaitu Almarhum Ustaz Dato’ Harun Taib dan Abdul Halim Arsyad.

Dalam sejarah penubuhan PASTI dan perkembangannya, Dr Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai pengarahnya yang pertama pada 18 Mei 1989, manakala Mohd Najib Fahmi Yahaya sebagai Timbalan Pengarah PASTI Pusat. Setiausaha PASTI Pusat yang pertama ialah Ishak Ismail manakala bendaharinya ialah Noh Ahmad. Kesemua pengarah PASTI negeri telah dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa PASTI di peringkat Pusat.

Terlalu panjang untuk dinukilkan sejarah emas PASTI, institusi ini dijaga dengan rapi oleh Dewan Pemuda PAS di pelbagai peringkat. Tropi kejayaan pelajar-pelajar PASTI juga tidak terhitung jumlahnya, melahirkan pelajar-pelajar cemerlang peperiksaan awam negara saban tahun, menetas pemain-pemain sukan negara, anggota-anggota legislatif, puluhan ribu professional serta teknokrat negara.

Masyarakat Islam tanpa mengira warna bendera politik seakan bersatu untuk terus membantu institusi ini. Beberapa hari lepas, penulis hadir di majlis perasmian bangunan PASTI an-Najjah di Jerteh. Dengan hasil dana awam, para penggerak PASTI Padang Landak dan kawasan sekitar mengumpulkan RM300,000 untuk mengusahakan bangunan baru yang tersergam indah. Gotong-royong diadakan serta kutipan dana awam melalui majlis makan dana telah diusahakan sehingga bangunan PASTI yang indah berjaya direalisasikan. Begitulah di seluruh Malaysia sehingga di bumi Sabah juga meriah dengan usaha mencetak generasi melalui pendidikan prasekolah ini.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 14/1/2026

- Advertisement -