
SHAH ALAM: Dakwaan kononnya projek ladang ternakan babi moden seluas 500 ekar di Bukit Tagar, Hulu Selangor akan menggunakan teknologi ‘zero waste, zero discharge’ (sifar sisa) dipersoalkan kerana dikhuatiri tidak memberi jaminan keselamatan mutlak terhadap alam sekitar dan sumber air.
Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan PAS Selangor, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, walaupun menggunakan sistem tertutup (closed-loop system), operasi tersebut tetap menghasilkan pelepasan gas seperti ammonia dan metana, serta sisa pepejal atau enap cemar (sludge).
Menurutnya, sisa pepejal tersebut masih perlu dipindahkan secara manual ke lokasi lain yang berisiko berlaku tumpahan, manakala pencemaran bau juga sukar dibendung sepenuhnya bagi ladang berskala besar.
“Adakah Kerajaan Negeri Selangor berani jamin sistem ini akan ‘zero odour’ (sifar bau)? Bayangkan masyarakat Melayu Islam di kawasan tersebut terpaksa melalui jalan-jalan yang berisiko tumpahan sisa najis.
“Istilah ‘zero waste’ tidak bermaksud tiada langsung sisa. Akan ada juga ‘treated waste’ (sisa terawat) yang dialirkan secara berjadual,” katanya.
Nurul Islam turut melahirkan kebimbangan serius mengenai lokasi cadangan ladang tersebut yang terletak di kawasan pertengahan sungai (midstream), berhampiran dengan beberapa Loji Rawatan Air (LRA) kritikal antaranya ialah LRA Rantau Panjang serta LRA Sungai Selangor 1, 2 dan 3 yang menyumbang antara 60 hingga 70 peratus bekalan air kepada pengguna di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
“Bayangkan ada satu kolam takungan (bund) najis kumbahan ladang pecah dan mengalir masuk ke dalam sungai berdekatan, seterusnya masuk melalui muka sauk ke LRA yang disebut.
“Lumpuh satu Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya. Ini risiko besar yang perlu difikirkan,” tegasnya.
Justeru, beliau mendesak Menteri Besar Selangor menangguhkan cadangan tersebut dan tidak terburu-buru membuat keputusan sebelum akhir tahun ini semata-mata untuk mengejar perancangan projek.
Beliau juga menuntut agar Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) dijalankan dengan telus, termasuk mengadakan sesi pendengaran awam.
“Buat pendengaran awam untuk mendapatkan input dari pakar dan wakil masyarakat. Bentangkan kepada Tuanku Sultan Selangor tanpa ada tapisan.
“Jangan ‘sudah terhantuk baru terngadah’. Rakyat dah mandi air najis babi baru kamu nak menyesal dengan tindakan kamu?” soalnya.
Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan kerajaan negeri akan menyegerakan proses kajian EIA dan SIA susulan titah Sultan Selangor.
Bagaimanapun, Amirudin berkata sesi pendengaran awam ‘tidak semestinya dilakukan’ dan bergantung kepada peraturan serta keperluan semasa.
“Kita akan tengok proses yang dibuat daripada EIA dan sebagainya. Kita mungkin perlukan masa tetapi kita cuba perkemaskan dengan cepat,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2026











