
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menegaskan bahawa PAS dan Umno tidak perlu dibubarkan, sebaliknya wajar terus bersaing secara sihat di pentas demokrasi dengan hujah, idea dan akhlak politik.
Beliau berkata, persaingan politik seharusnya diserahkan kepada penilaian rakyat tanpa melibatkan budaya kekerasan atau tindakan tidak beradab.
“Negara kita ini negara demokrasi. PAS dan Umno tidak perlu dibubar. Mari kita berlawan di pentas demokrasi, bukan dengan bertumbuk atau baling kerusi, tetapi berlawan hujah, idea dan akhlak sebagai ahli politik,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Ustaz Idris berkata, PAS kini terus berkembang dengan sokongan yang semakin meluas khususnya dalam kalangan anak muda dan golongan intelektual, sekali gus menafikan persepsi lama bahawa parti itu hanya berpengaruh di kawasan luar bandar dan institusi pondok.
Menurutnya, perubahan itu jelas dibuktikan apabila PAS mencatat sejarah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memenangi 43 kerusi Parlimen, jumlah terbesar yang pernah diraih parti itu dalam Dewan Rakyat.
“Dulu PAS dilabel sebagai ‘dagang’, hari ini PAS menjadi pejuang dan harapan ummah,” terang beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak.
Beliau turut mengemukakan rekod prestasi Umno dalam beberapa pilihan raya umum yang menunjukkan trend penurunan berterusan apabila kerusi Parlimen parti itu merosot daripada 109 kerusi pada PRU2004 kepada hanya 26 kerusi pada PRU15.
“Trendnya jelas, Umno berada di puncak pada PRU2004 dan kemudian menurun secara berperingkat sehingga hanya 26 kerusi pada PRU15,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.
Bagaimanapun, Ustaz Idris menegaskan beliau tidak berniat bersikap kasar terhadap Umno dan mengakui masih ramai ahli akar umbi parti itu yang ikhlas serta berminat bersama PAS dalam perjuangan perpaduan ummah.
Dalam pada itu, beliau menyatakan kehairanan terhadap kenyataan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan PAS menyertai sebuah organisasi beragenda Islam di luar politik yang dikatakan mendapat kelulusan Kabinet.
“Aik, biar betul? Sejak bila agenda politik kepartian perlu mendapat kelulusan Kabinet? Lebih menarik, Umno yang mempunyai kekuatan keahlian sekitar 3.5 juta orang, kenapa agenda politiknya sebagai ‘abang long’ perlu meminta izin Kabinet?
”Tambahan pula, Kabinet tersebut dianggotai menteri-menteri DAP. Ahli Umno sendiri tentu faham bagaimana pandangan DAP terhadap Umno dan agenda Islam. Tahu sama tahu lah,” katanya.
Ustaz Idris menegaskan PAS akan terus kekal dengan prinsip perjuangannya, berjuang di pentas demokrasi, membawa agenda Islam tanpa memerlukan kelulusan mana-mana pihak dan menyerahkan sepenuhnya penilaian akhir kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 14/1/2026











