
KOTA BHARU: Umno digesa membuktikan komitmen terhadap Islam melalui pelaksanaan dan amalan sebenar, bukan sekadar kenyataan atau retorik politik.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata perjuangan Islam tidak boleh diukur melalui slogan atau peruntukan di atas kertas semata-mata.
Menurut beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Negeri Kelantan, apa yang lebih penting ialah keberanian melaksanakan dasar dan prinsip Islam secara konsisten dalam pentadbiran dan pemerintahan.
“Bukan sekadar sebut atau letak Islam dalam perlembagaan parti. Yang lebih penting ialah amalan dan pelaksanaan,” katanya sewaktu sidang media selepas mesyuarat exco di Kota Darul Naim, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan dari Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi, bahawa PAS boleh dipertimbangkan dibubarkan sekiranya Umno benar-benar meletakkan Islam sebagai asas perlembagaannya.
Dr Fadzli menegaskan kerajaan negeri Kelantan sejak awal lagi telah meletakkan asas pentadbiran berteraskan konsep Membangun Bersama Islam.
Katanya, pelaksanaan prinsip Islam di Kelantan dilakukan secara berperingkat berdasarkan bidang kuasa yang diperuntukkan kepada kerajaan negeri.
“Apa yang berada dalam bidang kuasa negeri, kita laksanakan sedikit demi sedikit. Apa yang tidak dapat dilaksanakan bukan kerana kita tidak mahu,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, Kelantan telah menggubal dan menyediakan enakmen berkaitan undang-undang syariah seperti hudud dan qisas.
Namun katanya, pelaksanaan sepenuhnya terhalang kerana kekangan bidang kuasa di peringkat Persekutuan.
“Enakmen sudah ada. Persediaan sudah dibuat. Jika diberikan bidang kuasa, kita bersedia melaksanakannya,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan kesungguhan Umno dalam melaksanakan agenda Islam di negeri-negeri yang berada di bawah pentadbiran parti itu.
“Kita lihat di negeri-negeri yang Umno memerintah. Pelaksanaannya tidak sama seperti apa yang kita lakukan di Kelantan,” ujarnya.
Menurut beliau, kepimpinan yang benar-benar memperjuangkan Islam perlu berani bersuara dan mempertahankan prinsip tersebut dalam apa jua keadaan.
Tambah Dr Fadzli, Islam tidak boleh dijadikan modal politik tanpa disertai dengan tindakan dan pelaksanaan yang jelas.
“Kalau benar mahu buat Islam, mari buat bersama. Bukan sekadar sebut. Amalan mesti ada,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri Kelantan akan terus melaksanakan dasar berteraskan Islam dalam ruang dan bidang kuasa yang ada.
“Sesiapa sahaja yang ikhlas mahu memperjuangkan Islam dialu-alukan untuk bersama-sama membangunkan negeri berlandaskan nilai Islam,” katanya.
Terdahulu, Zahid dalam satu kenyataannya sewaktu berucap di Persidangan Umno baru-baru ini berkata PAS sepatutnya ‘terbubar’ sekiranya Umno benar-benar menukar dasar parti kepada Islam, dengan memetik pandangan bekas Mursyidul Am PAS, Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. – HARAKAHDAILY 14/1/2026











