
API TIDAK akan menyala tanpa dinyalakan, ribut tidak akan membadai tanpa hembusan angin.
Bicara mengenai perjuangan Islam, hakikatnya masih ramai dalam kalangan umat Islam yang memandang ringan akan amanah besar ini. Apabila diseru agar memperjuangkan agama Islam dengan kesungguhan yang sebenar, muncul suara-suara yang berkata, ‘Ini pun sudah cukup,’ atau ‘Sekurang-kurangnya ini juga satu bentuk sumbangan.’
Namun persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan bersungguh-sungguh?
Perjuangan yang bersungguh-sungguh ialah apabila kita berusaha ke arah sesuatu matlamat dengan menggembleng pelbagai cara, serta menilai perjuangan itu dari pelbagai sudut dan aspek yang saling melengkapi.
Sebagai misalan, apabila seseorang ingin mengubah suai kereta untuk acara perlumbaan, dia tidak sekadar menukar tayar kepada yang lebih lasak. Bahkan enjin dipertingkatkan kuasanya, sistem stereng diperkemas tahap pengendaliannya, dan setiap komponen dinilai agar selari dengan tujuan kemenangan. Begitu juga seorang guru yang benar-benar komited terhadap kejayaan muridnya, dia tidak hanya bergantung kepada latihan bertulis semata-mata, bahkan memperkaya pengajaran dengan pendekatan kreatif seperti permainan interaktif serta kaedah yang sesuai dengan tahap dan keadaan murid.
Mengapa mereka melakukan semua ini?
Kerana mereka benar-benar berusaha untuk mencapai hasil yang diinginkan.
Demikianlah juga dalam perjuangan Islam. Andai kita benar-benar bersungguh untuk memartabatkan agama ini, maka usaha tersebut tidak boleh terhenti pada satu lapangan sahaja. Perjuangan mesti dilihat secara menyeluruh, merangkumi setiap aspek yang mampu menjadi wasilah kepada kemenangan Islam.
Jika mengajar di masjid dan sekolah merupakan salah satu medan dakwah, maka bagaimana pula dengan aspek politik, ekonomi, media, pendidikan, budaya dan penguasaan wacana awam? Bukankah semua ini turut memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran masyarakat, menentukan arah pentadbiran negara, serta menjaga kepentingan umat Islam secara menyeluruh?
Mengabaikan medan-medan ini bererti kita sendiri mengecilkan ruang perjuangan Islam, sedangkan pihak yang memusuhi agama ini bergerak dengan strategi yang tersusun, sistematik dan berterusan. Mereka memahami bahawa kekuatan sebenar tidak terletak pada satu saluran sahaja, tetapi pada penguasaan pelbagai lapangan yang membentuk pemikiran dan hala tuju masyarakat.
Malangnya, sebahagian umat Islam masih terperangkap dalam zon selesa. Mereka merasakan selagi solat terjaga, majlis ilmu berjalan, dan program keagamaan diadakan, maka tanggungjawab telah selesai. Sedangkan Islam tidak pernah diturunkan sebagai agama ritual semata-mata, tetapi sebagai satu sistem kehidupan yang mengatur manusia dari aspek individu, masyarakat dan negara.
Sejarah membuktikan bahawa kebangkitan Islam tidak pernah berlaku secara separuh jalan. Rasulullah SAW bukan sahaja mendidik para Sahabat di rumah al-Arqam, bahkan membina kekuatan sosial, mengatur strategi politik, memeterai perjanjian, dan akhirnya mendirikan sebuah negara yang berteraskan wahyu. Ini menunjukkan bahawa perjuangan Islam sentiasa bersifat menyeluruh dan berperingkat, bukan terhad kepada satu dimensi sahaja.
Oleh itu, memperjuangkan Islam pada hari ini menuntut keberanian untuk keluar daripada kebiasaan. Ia menuntut kesediaan untuk terlibat dalam wacana awam, memahami realiti politik semasa, menguasai media dan teknologi, serta membina kekuatan ekonomi dan intelektual umat. Semua ini bukan pilihan sampingan, tetapi sebahagian daripada tuntutan amanah sebagai Muslim yang memahami makna dakwah dan islah.
Perjuangan Islam bukan soal melakukan apa yang kita mampu semata-mata, tetapi soal melakukan apa yang sepatutnya mengikut keperluan zaman. Kesungguhan tidak diukur melalui niat yang baik sahaja, tetapi melalui sejauh mana kita sanggup berusaha, berkorban dan menyusun langkah secara strategik demi memastikan Islam terus terpelihara, berdaulat dan memimpin peradaban.
Kerana api tidak akan menyala tanpa usaha menyalakannya, dan kemenangan Islam tidak akan tertegak tanpa perjuangan yang benar-benar bersungguh.
NASRUL RAHMAN
Timbalan Pengerusi 1 Majlis Politik Nasional GAMIS
Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 14/1/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











