Muhyiddin berundur: PAS sedia kemudi teraju PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang menerima secara terbuka hasrat Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berundur daripada jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebagai satu perkembangan positif untuk masa depan gabungan itu.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, berkata keputusan berkenaan membuka ruang kepada PN untuk bergerak ke hadapan dengan lebih tersusun dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“PN Insya-Allah akan bergerak ke hadapan. Berikan PAS peluang untuk mengemudi teraju PN menghadapi PRU16. Kita bangkit mara ke Putrajaya,” katanya dalam media sosial miliknya.

Terdahulu media tempatan melaporkan MPT BERSATU menghormati keputusan Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN atas dasar prinsip dan tanggungjawab, selepas mendengar penjelasan beliau.

MPT menegaskan BERSATU akan kekal setia dan berprinsip dalam PN serta terus memperkukuh kerjasama bagi menghadapi PRU16 dengan hala tuju sederhana dan prihatin rakyat.

Sebelum itu, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memaklumkan telah menerima surat peletakan jawatan daripada Muhyiddin sebagai Pengerusi PN bertarikh 30 Disember 2025, yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2026 lalu, namun perkara itu tertakluk kepada pengesahan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.

Susulan pengumuman berkenaan, Tuan Guru selaku Timbalan Pengerusi PN telah mengemukakan pandangan supaya satu mesyuarat tergempar diadakan segera bagi membincangkan perkara berkenaan secara rasmi dalam gabungan itu. – HARAKAHDAILY 13/1/2026

- Advertisement -