‘Barah’ pentadbiran negara: NGO perlu bangkit, bersatu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di negara ini diseru untuk mengenepikan perbezaan dan membentuk satu kesatuan yang utuh demi menyelamatkan Malaysia daripada pelbagai kemelut yang semakin meruncing.

Timbalan Pengerusi Lajnah NGO PAS Pusat, Razman Zakaria berkata, mutakhir ini negara dilambakkan dengan ancaman terhadap kedaulatan, keselamatan serta ketidakstabilan ekonomi yang menggugat perpaduan kaum.

- Advertisement -

​Menurutnya, NGO yang dilihat sebagai entiti tidak berkepentingan wajar berpakat ke arah matlamat yang sama iaitu memulihkan negara daripada krisis kepercayaan terhadap undang-undang dan institusi.

​“Rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap institusi yang dilihat hanya memerangkap ‘ikan bilis’ sedangkan ‘jerung’ sebenar kebal dari tindakan undang-undang.

​“Negara berhadapan isu kehakiman susulan pembebasan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kes terowong Pulau Pinang yang tiada kesudahan, serta pelbagai skandal yang menimbulkan tanda tanya.

​“Sebaliknya, rakyat dimomokkan dengan dakwaan salah guna kuasa musuh politik seperti terhadap Tun Dr Mahathir dan Almarhum Tun Daim yang sehingga kini gagal dibuktikan, semata-mata untuk menutup kegagalan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

​Razman turut membangkitkan kebimbangan mengenai usaha halus untuk merungkai semangat pembentukan negara bangsa, termasuk isu hak tanah rizab Melayu yang bertukar status dan cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

​“Malah, kegagalan pentadbiran turut dilihat di peringkat negeri apabila sensitiviti rakyat diperkotak-katikkan.
​Sebagai contoh di Selangor, timbul isu perancangan penternakan babi berskala besar di Kuala Langat yang mendapat bantahan keras penduduk serta teguran daripada Sultan Selangor,” ujarnya.

​Tambah beliau, perancangan yang didakwa kononnya menggunakan sistem moden dan ‘zero discharge’ itu diragui keberkesanannya, malah dikhuatiri hanya membebankan rakyat dengan pencemaran bau dan air, selain tidak menghormati demografi penduduk majoriti Islam di kawasan terbabit.

​“Isu-isu seperti ini, ditambah dengan kebimbangan terhadap agenda di sebalik Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), bakal menjadi barah yang menggugat kedaulatan negara jika tidak ditangani segera,” tegasnya.

​Justeru, beliau menyeru agar semua pihak tanpa mengira aliran politik, kaum dan agama untuk bersatu menyelamatkan negara yang disifatkannya semakin parah dan hilang arah.

​Beliau turut mengingatkan parti politik khususnya pembangkang agar bertindak selari dengan harapan rakyat untuk menjadi alternatif perjuangan yang diyakini.

​“Segala isu dalaman dan perbezaan pendapat sewajarnya diselesaikan secara dalaman tanpa melibatkan rakyat sehingga menghilangkan kepercayaan mereka.

​“Jangan heret rakyat yang sedia terbeban dengan tekanan ekonomi, isu sosial dan keruntuhan akhlak demi kepentingan puak dan peribadi.

​“Kesatuan kita hendaklah dibina dengan mengabaikan isu remeh-temeh dan bersifat teknikal demi matlamat besar menyelamatkan Malaysia,” ujarnya lagi.

​Pihaknya juga menegaskan bahawa penyelesaian tuntas terhadap krisis ini menuntut gabungan tenaga semua pihak bagi memastikan kedaulatan tanah air terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 13/1/2026

- Advertisement -