
HULU LANGAT: Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih memberi tempoh pemerhatian selama tiga bulan kepada kontraktor pembersihan baharu yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
ADUN Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz berkata, pemantauan rapi itu dibuat susulan isu lambakan sampah yang berlaku di Flat Baiduri Fasa 6, baru-baru ini.
“Kami memberi tempoh pemerhatian selama tiga bulan kepada kontraktor baharu ini.
“Jika prestasi masih tidak memuaskan, perkara ini akan disuarakan dengan lebih tegas kepada MPKj melalui saluran rasmi,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial rasmi beliau, hari ini.
Terdahulu, pihak MPKj telah menggerakkan kontraktor bagi melaksanakan pembersihan luar biasa di kawasan kediaman tersebut selepas aduan penduduk dipanjangkan oleh pihak ADUN.
Operasi pembersihan tersebut dilaksanakan secara berperingkat melibatkan lima trip keseluruhan, iaitu tiga trip pada hari sebelumnya dan dua trip tambahan diteruskan pada hari berikutnya.
Mengulas lanjut, Ustaz Nushi memaklumkan bahawa MPKj telah melantik kontraktor pukal baharu bermula 1 Januari 2026.
Jelasnya, kontraktor kini berada dalam fasa transisi selama dua hingga tiga bulan bagi menyusun semula jadual dan kawasan tugasan, menjadikan tempoh ini sangat kritikal dan memerlukan pemantauan.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan teguran konstruktif kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) kawasan strata supaya memainkan peranan utama dalam mengurus kebersihan dan kesejahteraan penduduk.
“Peranan ini bukan sekadar mengurus kutipan yuran, tetapi termasuk memastikan kebersihan kawasan gunasama seperti rumah sampah sentiasa dipantau.
“JMB juga perlu bertindak awal menghubungi MPKj atau kontraktor apabila berlaku gangguan kutipan serta menguatkuasakan house rules, termasuk mengawal pembuangan sampah pukal yang boleh menjejaskan operasi lori biasa,” ujarnya.
Menurutnya lagi, JMB berada paling hampir dengan realiti harian penduduk dan dengan pemantauan awal yang konsisten, banyak isu boleh diselesaikan sebelum menjadi lebih besar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak MPKj atas respons pantas dan tindakan yang diambil demi kesejahteraan komuniti Semenyih. – HARAKAHDAILY 12/1/2026











