
TANGGA BATU: PAS Kawasan Tangga Batu kini dalam proses menambah 12 lagi cawangan baharu dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada strategi mengukuhkan parti di kawasan tersebut.
Yang Dipertuanya, Bakri Jamaluddin berkata, langkah itu selaras dengan peningkatan jumlah keahlian baharu yang sangat menggalakkan sejak kebelakangan ini.
“Setakat ini kita telah menerima borang permohonan penubuhan lapan cawangan baharu, sementara empat lagi kita akan terima dalam masa terdekat.
“Empat daripada cawangan penaja itu berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang iaitu Taman Kris Masa, Taman Bertam Setia, Taman Tanjung Minyak Perdana dan Sungai Udang Jaya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berkata demikian kepada usai majlis penyerahan borang permohonan ahli baharu bagi Cawangan Bertam Ulu yang berlangsung di Pusat Khidmat Parlimen, Taman Tanjung Minyak Perdana, di sini, semalam
Dalam majlis ringkas tersebut, sebanyak 24 borang permohonan ahli baharu diserahkan oleh dua wakil penduduk iaitu Mohd Syahril Nor Hashim dan Azman Abdullah.
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Rafie Ahmad dan Setiausaha Kawasan, Jais Ma’sap
Menurut Bakri, PAS amat mengalu-alukan penyertaan ahli baharu, terutamanya golongan profesional dan teknokrat yang mampu menyumbang kepakaran demi meningkatkan kepercayaan rakyat.
“Kita lihat Haji Azman Abdullah ini contohnya, beliau adalah bekas pengurus sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam sektor perladangan. Sudah tentu kepakarannya diperlukan apabila kita mentadbir kelak.
“Pada waktu ini, rakyat mahu melihat politik solusi dan PAS harus menunjukkan keupayaan dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat apabila diberi mandat menjadi kerajaan nanti,” ujarnya.
Sementara itu, Azman berkata, hasratnya untuk menyertai PAS sudah lama terpendam, namun kekangan tugas sebagai pengurus GLC sebelum ini membataskan penglibatannya.
“Sebagai orang Islam, kita terpanggil untuk menyertai PAS kerana parti ini memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Perkara sebegini menimbulkan keinsafan diri untuk melibatkan diri secara terus demi kebaikan umat Islam,” katanya.
Seorang lagi wakil ahli baharu, Mohd Syahril berkata, beliau mengambil masa sedikit untuk menyerahkan borang kerana mahu mengumpulkan rakan-rakan sekampung yang turut berminat.
“Ahli baharu yang masuk setakat ini sudah 24 orang dan akan ada lagi yang menyusul. Ada yang belum sempat mengisi borang kerana kesibukan kerja, namun insya-Allah ramai lagi akan bersama kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/1/2026











