Pesta songsang di Selangor: Penganjur perlu disiasat

Ustaz Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyatakan rasa bimbang dengan perkembangan ideologi songsang LGBTQ sejak akhir-akhir ini, yang semakin terbuka menjalankan program dan aktiviti mempromosi ideologi tersebut dalam kalangan masyarakat. 

- Advertisement -

Ketuanya, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, penganjuran acara Glamping with Pride yang dianjurkan oleh kumpulan Jejaka yang berlatar belakang pendukung ideologi songsang LGBTQ sebenarnya menambah kebimbangan rakyat tentang keberanian golongan ini menzahirkan diri mereka.

“Apakah kita hanya sekadar membutakan mata dan memekakkan telinga melihat golongan-golongan sebegini merosakkan pemikiran rakyat dan terus menerus menormalisasi budaya songsang dalam negara?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu beliau menegaskan, DUPP menggesa Kerajaan serta pihak berkuasa supaya mengambil sikap yang tegas terhadap penganjuran program tersebut. 

Menurutnya, Malaysia masih tegas berpegang dengan prinsip menolak ideologi LGBTQ, malah tidak wajar membenarkan golongan songsang sebegini bertapak dalam negara.

“Tambahan lagi, suatu pelan tindakan yang menyeluruh wajar dirangka bagi memastikan negara dan rakyat bebas daripada penyebaran pemikiran ideologi LGBTQ,” ujarnya.

Tambah beliau, DUPP pernah menegaskan bahawa dasar serta polisi yang memberikan hala tuju yang menyimpang seperti pemberian ubatan PrEP suatu ketika dahulu menjadi antara punca kepada berkembangnya golongan songsang ini.

“Sudah sampai masanya Kerajaan mengambil langkah yang proaktif dan tegas terhadap isu sebegini. 

“Satu demi satu tindakan normalisasi mula dizahirkan tanpa segan silu. Jika tiada penguatkuasaan yang tegas, dibimbangi akan memberikan ruang yang lebih selesa untuk ideologi ini bertapak dan merosakkan masa depan rakyat dan negara,” katanya. –HARAKAHDAILY 10/1/2026

- Advertisement -