
CADANGAN menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) serta memperkukuh Perikatan Nasional (PN), sekali gus membentuk gabungan PN 2.0+MN 2.0 kini tidak lagi terhad sebagai perbincangan tertutup elit politik. Sebaliknya kini berkembang menjadi perbahasan terbuka yang disertai sokongan, kebimbangan dan prejudis daripada pelbagai sisi politik negara, termasuk kerajaan dan pembangkang.
Perkembangan ini mencerminkan perubahan suhu politik nasional yang semakin ketara pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan percaturan menjelang PRU16, ketika rakyat mula menilai semula arah, bentuk dan kejujuran kuasa yang ditawarkan kepada mereka.
Secara kronologi, MN dimeterai pada 14 September 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, sebagai piagam penyatuan antara PAS dan Umno. Ia susulan keputusan PRU14 yang menyaksikan perpecahan undi Melayu serta kebimbangan mendalam terhadap hala tuju politik Melayu-Islam di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
Penyatuan tersebut bukan lahir daripada emosi sesaat, tetapi daripada bacaan strategik bahawa perpecahan dalaman hanya melemahkan posisi umat dan membuka ruang kepada dominasi politik pihak lain.
PN pula muncul pada Februari 2020 selepas krisis politik nasional yang menjatuhkan Kerajaan PH, dan kemudiannya membentuk Kerajaan Persekutuan sehingga PRU15.
Dalam tempoh 2020 hingga 2021, Kerajaan PN melaksanakan pakej rangsangan ekonomi berjumlah kumulatif lebih RM295 bilion bagi menangani kesan pandemik COVID-19, menjadikan PN sebagai gabungan yang pernah diuji dalam krisis besar negara, bukan sekadar eksperimen politik tanpa rekod pentadbiran.
Momentum baharu kepada wacana PN+MN tercetus selepas PRU15 pada 19 November 2022 apabila keputusan tergantung membawa kepada pembentukan Kerajaan PH bersama Barisan Nasional (BN).
Namun, selepas lebih dua tahun pentadbiran PH-BN, keresahan rakyat semakin ketara. Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan inflasi makanan kekal melebihi 4 peratus sepanjang 2023, harga beras melonjak hampir 30 peratus selepas penyelarasan subsidi, manakala reformasi institusi utama masih bergerak perlahan.
Dalam konteks ini, idea penyatuan Melayu-Islam kembali dibincangkan sebagai alternatif politik yang lebih jelas, berprinsip dan konsisten.
Dari sudut kerajaan, kebimbangan dan prejudis terhadap cadangan PN+MN dizahirkan secara terbuka oleh pimpinan DAP dan PAN, yang berulang kali memomokkan penyatuan PAS–Umno. Mereka mendakwa ia sebagai kebangkitan politik perkauman dan agama serta ‘langkah ke belakang’ yang kononnya mengancam demokrasi majmuk.
Namun secara objektif, keputusan PRU15 menunjukkan PH gagal menawan majoriti kerusi Melayu, manakala PN menguasai hampir keseluruhan Pantai Timur dan mencatat kemenangan besar di kawasan luar bandar.
Justeru, penolakan tersebut lebih munasabah dibaca sebagai kebimbangan PH terhadap kehilangan legitimasi politik, bukan semata-mata soal prinsip. Sebaliknya, suara daripada pimpinan muda semakin lantang menyambut idea penyatuan ini.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh, secara konsisten menegaskan bahawa politik masa depan tidak boleh terus terperangkap dalam konflik lama sehingga kuasa Melayu tergadai akibat perbalahan sesama sendiri. Pendiriannya jelas, perpecahan berpanjangan hanya menguntungkan pihak lawan, bukan rakyat.
Nada yang hampir serupa disuarakan oleh Ketua Pemuda PAS, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden, yang menekankan bahawa penyatuan bukan soal kelangsungan parti, tetapi tanggungjawab mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Beliau menegaskan generasi muda mahukan politik yang jelas prinsipnya, berani mempertahankan Islam dan tidak tunduk kepada tekanan kuasa semasa. Realitinya, hampir 40 peratus pengundi PRU15 terdiri daripada golongan bawah 40 tahun, dan kecenderungan mereka di kawasan majoriti Melayu jelas memihak kepada PN.
Dalam suasana perbahasan mengenai keperluan penyatuan ini, turut berlaku satu episod bersifat simbolik yang mencetuskan tafsiran tersendiri dalam kalangan pemerhati politik.
Kehadiran Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke majlis perkahwinan anak pemimpin PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi perhatian apabila Tuanku secara berseloroh bertanya, “Ni bila majlis perkahwinannya pula?”.
Walaupun tidak boleh ditafsir sebagai kenyataan politik, peristiwa ini dibaca oleh sebahagian pemerhati sebagai simbol keakraban dan isyarat halus bahawa agenda perpaduan ummah sentiasa dekat dengan peranan institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung kesatuan umat dan negara.
Di sinilah sejarah wajar dijadikan cermin, bukan sekadar catatan. Kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 tidak berlaku secara tiba-tiba, bukan kerana satu serangan besar, dan bukan kerana musuh terlalu kuat semata-mata.
Ia adalah hasil proses panjang perpecahan dalaman umat Islam sendiri, kepimpinan melemah, elit terlalu taksub meniru Barat tanpa tapisan nilai, nasionalisme sempit memecahkan wilayah Islam, serta kemerosotan ekonomi dan ketenteraan. Dalam keadaan umat Islam berpecah dan keliru inilah, kuasa luar hanya menunggu masa.
Hakikat paling pahit ialah institusi khilafah dimansuhkan bukan oleh kuasa asing, tetapi oleh tangan umat sendiri melalui kepimpinan Mustafa Kemal Atatürk.
Pola yang sama berulang dalam sejarah Alam Melayu. Kejatuhan Kesultanan Melaka pada 1511 bukan semata-mata akibat meriam Portugis, tetapi kerana Melaka telah lama retak dari dalam, perpecahan pembesar, konflik kuasa dan kelemahan pengurusan pertahanan. Serangan luar hanyalah pukulan terakhir kepada sebuah struktur yang telah rapuh.
Sebaliknya, sejarah juga merekodkan bahawa ketika Alam Melayu bersatu, sejak era Kedah Tua, Melaka, Aceh dan Patani, kekuatan politik dan ketenteraan yang berpaksikan kesatuan akidah, bahasa dan kepimpinan menjadikan kuasa luar berfikir berkali-kali sebelum mencabar.
Bahkan Siam sendiri pernah gerun untuk meluaskan pengaruh ketika kerajaan-kerajaan Melayu berdiri dalam satu saf. Kekuatan sebenar bukan pada senjata, tetapi pada kesatuan.
Sejarah mengajarkan satu hukum yang konsisten; apabila perpaduan runtuh, kejatuhan hanya menunggu masa. Kuasa luar tidak perlu menyerang secara terbuka; mereka hanya menunggu perpecahan dalaman untuk merobek dari dalam.
Dalam konteks ini, PN+MN bukan sekadar strategi politik jangka pendek atau nostalgia masa lalu, tetapi refleksi kepada tuntutan sejarah dan realiti semasa. Jika penyatuan ini diterjemahkan dengan disiplin, kejujuran dan agenda tadbir urus yang jelas, ia berpotensi mengubah imbangan kuasa nasional serta memberi tekanan serius kepada Kerajaan PH–BN.
Namun jika gagal diurus secara matang, ia hanya akan mengulangi kitaran perpecahan yang telah berkali-kali membawa kerugian kepada umat dan bangsa.
Di sinilah terletaknya ujian sebenar kepimpinan; bukan sekadar menang pilihan raya, tetapi keberanian belajar daripada sejarah demi agama, bangsa dan tanah air.
Kesimpulannya, kesatuan Melayu-Islam merupakan kekuatan sebenar yang menjadi benteng utama mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Sebaliknya, apabila perpecahan dibiarkan berlarutan, hakikatnya pihak lawan tidak perlu menyerang secara terbuka; mereka hanya menunggu masa sehingga umat melemah dari dalam, sebelum masuk merobek saki-baki kesatuan yang sudah rapuh dan tidak lagi berdaya mempertahankan diri.
Sejarah sedang dicatat pada saat ini. Persoalannya, adakah kita mahu meninggalkan kepada generasi akan datang sebuah sejarah kejatuhan yang berpunca daripada perpecahan dan kegagalan belajar daripada masa lalu, atau sebuah sejarah kebangkitan yang membina kekuatan bangsa, memartabatkan agama dan meneguhkan negara?
Pilihan itu bukan terletak pada masa depan, tetapi ditentukan oleh keputusan dan keberanian hari ini.
IQMAN IBERAHIM – HARAKAHDAILY 5/11/2026











