
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, calon PAS tidak perlu menandatangani perjanjian bersyarat seperti denda RM10 juta jika lompat parti atau seumpamanya, tetapi cukuplah dengan lafaz bai‘ah.
Ahli Parlimen Bagan Serai dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menegaskan, jika ada yang memilih untuk melanggar bai’ah tersebut, itu adalah urusan dirinya dengan prinsip dan nilai yang telah diikrarkan.
“Pengalaman yang telah kita saksikan sebelum ini membuktikan bahawa bai‘ah ini benar-benar teruji, dan akibatnya jelas kepada mereka yang mengingkarinya,” ujar beliau di media sosial miliknya sebentar tadi.
Hantaran tersebut dilihat menyusuli ketetapan diumumkan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis daripada PAS yang terhenti keahlian sebagai ahli parti.
Bersama catatan status tersebut, beliau turut memuat naik lampiran teks lafaz bai’ah yang dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS untuk dilafazkan secara sukarela apabila mereka memilih untuk bertanding.
“Bahawa saya berbaiah dan bersumpah “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” untuk patuh kepada hukum Allah dan Rasul-Nya dan patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
“Bahawa saya berbaiah dan bersumpah “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah dipilih menjadi calon dan terpilih menjadi Ahli Dewan Negeri atau Dewan Rakyat atau dilantik menjadi Senator.
“Maka saya akan dilaknat oleh Allah, Rasul, orang-orang yang beriman serta sekalian yang melaknat dan segala perbelanjaan saya dengan menggunakan wang elaun Ahli Dewan tersebut adalah haram.
“Bahawa saya juga berbai’ah dan bersumpah “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” untuk meletakkan jawatan dari menjadi Ahli Dewan Negeri atau Dewan Rakyat atau Dewan Negara tersebut apabila saya keluar atau dipecat dari parti.
“Allah bersaksi atas apa yang saya tuturkan ini,” demikian petikan teks bai’ah tersebut yang menurutnya dilafazkan dengan penuh kesedaran, tanpa sebarang paksaan, dan setiap calon memahami dengan jelas apa diikrarkan.
Tiga ADUN PAS tersebut dilaporkan menandatangani akuan bersumpah (SD) menolak kepimpinan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan menyerahkan SD tersebut kepada pihak Istana Perlis pada Jumaat lalu.
Mereka ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) di mana bertindak demikian secara peribadi tanpa restu atau keputusan daripada parti, dengan bersama mereka juga lima ADUN BERSATU.
Ketetapan diumumkan Tuan Guru Abdul Hadi itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Presiden PAS di Rusila, Marang, malam tadi. – HARAKAHDAILY 25/12/2025











