
KUALA LUMPUR: Pelantikan Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, Hannah Yeoh susulan rombakan Kabinet perlu dilihat sebagai ujian sebenar keupayaan kerajaan menjawab keresahan rakyat, bukannya sekadar pertukaran wajah semata-mata.
Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Dr Rosni Adam berkata, Menteri berkenaan perlu membuktikan slogan ‘Kerajaan Madani’ adalah realiti yang prihatin dan bukan sekadar retorik kosong.
Tegasnya, antara perkara paling mendesak adalah jaminan perlindungan hak tanah rakyat di ibu kota tanpa mengira kaum daripada sebarang bentuk kezaliman atau rampasan.
“Menteri perlu melindungi hak seluruh rakyat tanpa mengira kaum daripada dizalimi atau dirampas tanah mereka, walaupun memiliki geran yang sah.
“Ini seperti isu yang sedang dihadapi oleh penduduk Kampung Sungai Baru dan Kampung Jinjang yang menuntut pembelaan sewajarnya,” katanya.
Menurut Dr Rosni, kerajaan perlu memberi fokus khusus kepada golongan miskin bandar dan penduduk program Perumahan Rakyat (PPR) yang bergelut dengan kos sara hidup, selain meluaskan keupayaan pemilikan rumah bagi golongan rentan dan belia.
Selain isu ekonomi, beliau turut mendesak agar penguatkuasaan undang-undang berkaitan moral diperketatkan demi mewujudkan bandar yang harmoni dan selamat.
“Kita mahu Wilayah Persekutuan bebas daripada ancaman premis maksiat, kegiatan ‘sauna gay’, pelacuran, ekonomi gelap serta kelonggaran lesen arak secara terbuka yang mengancam keselamatan awam.
“Perhatian juga perlu diberikan dalam menangani infrastruktur kritikal seperti banjir kilat, kesesakan lalu lintas dan gangguan perkhidmatan LRT secara tuntas walaupun merentas kementerian,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muslimat PAS Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa suara rakyat bandar yang menolak Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak wajar dipandang enteng.
Kata Dr Rosni, sekiranya Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) benar-benar memahami denyut nadi rakyat, keutamaan harus diberikan kepada penderitaan sebenar rakyat yang terhimpit, bukannya agenda yang meresahkan.
“Berikan keutamaan kepada penderitaan sebenar rakyat yang bergelut dengan kemiskinan bandar, kekurangan peluang pekerjaan dan kesejahteraan hidup yang semakin terhakis,” katanya lagi.
Beliau menggariskan lapan inisiatif utama termasuk pemerkasaan modal insan dan bantuan sosial lestari sebagai panduan kepada Menteri baharu untuk menyantuni realiti kehidupan warga kota. – HARAKAHDAILY 19/12/205











