Siti Zailah saran kerajaan tambah geran STI

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mewujudkan geran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang berjumlah RM10,000 bagi setiap kawasan Parlimen.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ia bertujuan menerapkan STI dalam pendidikan menerusi pemerkasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Bagaimanapun beliau berkata, peruntukkan tersebut tidak mencukupi sekiranya membabitkan penganjuran bengkel asas robotik, koding dan sebagainya termasuk dana permulaan bagi memupuk minat rakyat.

“Saya mengucapkan tahniah kepada MOSTI atas penganjuran program STI ini dan mencadangkan peruntukan ditambah, terutamanya di negeri-negeri yang baru nak membina ekosistem dan bakat dalam bidang ini.

“RM10,000 adalah jumlah yang sangat kecil jika mahu membeli peralatan berteknologi tinggi seperti set robotik industri, pencetak 3D ataupun komputer untuk kelas AI yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) MADANI 2025 yang diadakan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan di sini Ahad lalu.

Turut hadir Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Kamaruzaman Mohamad dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Kelantan (PKINK), Ir. Hamdzah Abdul Rahman.

Siti Zailah yang juga Ketua Muslimat PAS Kelantan turut mencadangkan kepada kerajaan agar memperkukuhkan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN) dalam sistem pendidikan negara.

Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memperkenalkan kurikulum ‘literasi digital dan kecerdasan buatan (AI)’ sebagai pengajian wajib kepada pelajar sekolah.

Selain AI kata beliau, ia turut membabitkan keselamatan siber, etika digital dan pengaturcaraan asas dalam sisem pendidikan negara yang bermula di sekolah rendah sehingga sekolah menengah. – HARAKAHDAILY 17/12/2025

- Advertisement -