UEC: Kaum Cina sendiri bidas mainan politik DAP

Isu UEC hanya libat segelintir orang Cina, tapi digambarkan DAP seolah wakili seluruh komuniti

- Advertisement -

DESAKAN pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) terus mencetuskan polemik, namun kali ini bantahan dan kebimbangan turut disuarakan dengan lantang oleh tokoh masyarakat serta netizen berbangsa Cina sendiri.

Rata-rata mereka melahirkan kegusaran terhadap nasib pelajar aliran perdana (SPM dan STPM) sekiranya UEC diiktiraf, selain menyifatkan isu ini sebagai modal politik pihak tertentu, khususnya DAP yang didakwa memanipulasi sentimen demi undi.

- Advertisement -

​Tokoh Sukarelawan Nasional 2020, Teo Ann Siang secara terbuka menyatakan rasa kurang bersetuju dengan pengiktirafan UEC dalam dasar pentadbiran negara melihat kepada konteks persekitaran semasa.

​Sebagai alumni Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau bimbang pengiktirafan UEC dalam sektor awam akan menjejaskan peluang pelajar-pelajar SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), terutamanya bagi kemasukan ke universiti awam yang menawarkan yuran bersubsidi.

​“Dalam konteks sistem pendidikan Malaysia sedia ada, graduan STPM sendiri berdepan persaingan sengit dan peluang yang terhad untuk mendapatkan kursus pengajian pilihan atau penempatan dalam perkhidmatan awam.

​“Sekiranya penerimaan graduan UEC disetarakan dengan pelajar antarabangsa dari China, saya boleh menerimanya. Namun, sekiranya pengiktirafan UEC diberikan secara menyeluruh dan setara dengan kelayakan tempatan sedia ada, saya berasa kurang selesa,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

​Jelasnya, walaupun ibunya merupakan graduan UEC, beliau dan adik-beradik tidak pernah dihalang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan sepenuhnya dari sekolah rendah hingga ke universiti tempatan seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

​Sementara itu, pempengaruh media sosial, Zee How Tai atau lebih dikenali sebagai ‘Ulasan Apek Cina’ membidas segelintir pihak yang melabelkan kaum Tiong Hwa yang mengambil SPM dan tidak menyokong UEC sebagai ‘pengkhianat kaum’ atau ‘anjing Melayu’.

​Tegasnya, beliau yang bersekolah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan mengambil SPM adalah anak jati Malaysia yang tetap mencintai kebudayaan Tiong Hwa tanpa perlu menyokong UEC secara membuta tuli.

​“Kami yang tak ambil UEC malah SPM, adalah anak sejati Malaysia. Kalau sebagai anak jati Malaysia adalah ‘pengkhianat’ kaum, baik kamu jangan panggil diri sebagai anak Malaysia.

​“Siapakah kamu yang menentukan bahawa semua kaum Tiong Hwa mestilah sokong UEC untuk pertahankan kebudayaan? Kalau usaha pertahankan kebudayaan bermaksud ugut, maki hamun dan panggil orang anjing, gejala ini telah merosakkan falsafah Tiong Hwa,” katanya.

​Beliau turut mengingatkan bahawa DAP adalah pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menjawab isu ini kepada pengundi Cina kerana janji-janji mereka sebelum ini lantang mengkritik MCA dan Umno.

​“Yang janjikan pengiktirafan UEC serta-merta adalah DAP. Tak perlu tuding jari kepada kami budak SPM. Nak hentam, hentam depa (DAP). DAP harus jawab kepada pengundi Cina sebab mereka yang mengatakan Umno bersifat perkauman atas keengganan mengiktiraf UEC.

​“Saya mahu tengok mereka kata PMX (Perdana Menteri) dan PKR sebagai perkauman sepertimana mereka tuduh Umno dan MCA sebelum ini,” ujarnya sinis.

​Tinjauan di media sosial mendapati ramai pengguna Facebook berbangsa Cina turut bersetuju dengan pandangan tersebut dan meluahkan rasa muak dengan permainan politik isu UEC.

​Seorang pengguna Facebook, Voo Joe menegaskan bahawa semangat kenegaraan bermula dari sistem pendidikan kebangsaan.

​“Kami anak Cina yang sekolah di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan adalah anak sejati Malaysia sebab sebagai rakyat kita wajib menguasai Bahasa Kebangsaan,” tulisnya.

Facebook milik Tan Kean Seng pula mendedahkan data bahawa majoriti pelajar Cina sebenarnya berada dalam aliran kebangsaan, namun suara mereka sering tenggelam.

​“Dalam kalangan pelajar Cina di Malaysia, kira-kira 80 peratus bersekolah di SMK, sekitar 15 peratus di sekolah persendirian Cina, dan hanya lima peratus di sekolah antarabangsa. Tapi suara kelompok kecil 15 peratus itu sering menjadi tumpuan, seolah-olah mereka mewakili keseluruhan komuniti.

​“Pelajar Cina di SMK yang merupakan majoriti dianaktirikan dan jarang diambil peduli oleh parti yang kononnya memperjuangkan masyarakat Cina. Isu UEC ini sebenarnya hanya melibatkan sebahagian kecil, tetapi ia selalu digambarkan seakan-akan masalah besar seluruh komuniti Cina Malaysia,” katanya.

​Dia turut menyifatkan isu ini mungkin sekadar taktik politik untuk mencetuskan ketegangan kaum sebelum akhirnya ‘disenyapkan’ dengan alasan sensitiviti, yang akhirnya merugikan komuniti itu sendiri.

​“Jika benar ikhlas mahu mengiktiraf UEC, buatlah dengan cara tenang dan senyap. Jangan belum apa-apa sudah diuar-uar sampai seluruh negara bising,” tambahnya.

​Manakala, seorang lagi netizen, Kw Koo mempersoalkan motif sebenar di sebalik desakan tersebut.

​“Saya bersetuju dengan pandangan anda. Saya selalu tertanya-tanya mengenai topik UEC ini adakah pengiktirafan UEC ini sebenarnya dimahukan oleh ibu bapa atau ahli politik?” soalnya.

​Reaksi-reaksi ini menunjukkan bahawa naratif bahawa ‘seluruh kaum Cina mendesak UEC’ adalah tidak tepat, malah wujud kelompok besar yang lebih mengutamakan keharmonian nasional dan kedaulatan sistem pendidikan kebangsaan. – HARAKAHDAILY 15/12/2025

- Advertisement -