
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memindahkan seorang guru besar di sebuah sekolah di Bedong, Sungai Petani susulan jemputan seorang pempengaruh untuk merasmikan Majlis Anugerah Akademik sekolah berkenaan baru-baru ini.
“Ironinya, meskipun dengan himpitan pelbagai isu yang melibatkan institusi pendidikan yang tidak diselesaikan dengan tindakan yang tegas, pihak KPM mengambil tindakan luar jangka terhadap sekolah berkenaan.
“(Ia) hanya kerana menjemput seorang pempengaruh yang tiada kepentingan secara langsung dengan politik,” ujar Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin dalam satu kenyataan.
Menurutnya, isu berhubung hidangan arak di sekolah pula masih belum menyaksikan sebarang tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terlibat.
“Persoalannya, mengapa wujud ‘double standard’ KPM terhadap isu-isu sebegini? Sedangkan isu berhubung hidangan arak di sekolah pun masih belum menyaksikan sebarang tindakan tegas KPM terhadap pihak yang terlibat sehingga ke hari ini,” bidasnya.
Beliau turut mempersoalkan langkah kerajaan yang dilihat sekadar menilai semula garis panduan terhadap isu berkenaan.
“Apakah itu cukup menggambarkan ketegasan terhadap isu yang berlaku sedangkan najis arak lebih mencemarkan nama baik institusi pendidikan berbanding menjemput seseorang pempengaruh dengan latar belakang seorang usahawan?” soalnya.
Muhammad Hanif berkata, tindakan berkenaan memperlihatkan sikap hipokrasi dan pendakwaan terpilih oleh kerajaan.
“Tindakan-tindakan sebegini bukan sahaja memperlihatkan sikap ‘double standard’ serta hipokrasi Kerajaan Madani dalam penguatkuasaan dasar dan garis panduan sedia ada.
“(Ia) bahkan juga pendakwaan terpilih terhadap kelompok yang tidak bersama kerajaan. Adakah ini wacana reformasi yang dibanggakan?
“Pemuda PAS Malaysia menyatakan kekecewaan di atas kegagalan Menteri Pendidikan sendiri dalam mengurus hal ehwal pentadbiran melibatkan Kementerian Pendidikan pada hari ini,” jelasnya.
Menurutnya, pentadbiran KPM kini dilihat hanya menjadi alat politik kerajaan dan kepimpinan kementerian digesa mengambil tanggungjawab terhadap situasi berkenaan
“Malah, pentadbiran KPM hari ini hanya menjadi alat politik kuku besi Madani semata-mata. Ia tidak disandarkan kepada prinsip serta amalan dan pendirian yang matang sesuai dengan kedudukan institusi pendidikan yang dihormati dalam negara.
“Jika tidak lagi mampu mentadbir, dengan segala hormatnya sila berundur,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2025











