Titah ‘muak’ Sultan bukti Kerajaan Selangor gagal

CREATOR: gd-jpeg v1.0 (using IJG JPEG v80), quality = 70?
- Advertisement -

SHAH ALAM: Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa ‘muak’ terhadap isu banjir dan kebersihan di negeri itu disifatkan sebagai manifestasi kekecewaan rakyat terhadap kegagalan Kerajaan Negeri menguruskan perkara asas.

- Advertisement -

​Ketua Penerangan PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, teguran daripada istana itu membuktikan bahawa rungutan yang didengari rakyat saban hari mengenai sampah tidak dikutip mengikut jadual bukanlah isu terpencil, sebaliknya telah menjadi lumrah yang membimbangkan.

​Terdahulu, dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama, Sultan Sharafuddin meluahkan rasa muak selepas menerima banyak aduan orang ramai mengenai tahap kebersihan yang semakin merosot di seluruh Selangor.

​Baginda bertitah, aduan yang diterima kini disertakan dengan maklumat lengkap dan gambar sebagai bukti, menunjukkan rakyat benar-benar kecewa dan mahukan tindakan segera.

​“Saya sudah muak. Sudah tiba masanya pihak majlis tempatan membersihkan tindakan mereka,” titah Baginda yang turut menegaskan Selangor sepatutnya menjadi contoh negeri maju yang bersih dan teratur.

​Mengulas perkara tersebut, Yusfarizal berkata, status Selangor sebagai negeri maju dengan pendapatan antara tertinggi di Malaysia sepatutnya membolehkan pengurusan sisa pepejal dilakukan dengan lebih efisien, sistematik dan berteknologi tinggi.

​“Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Walaupun Selangor menjana sekitar 7,000 tan sampah sehari, alasan jumlah sampah yang banyak tidak boleh diterima memandangkan sumber kewangan negeri mencukupi.

​“Masalah timbul apabila urusan kutipan yang diswastakan kepada KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEB) dilihat bermasalah, terutamanya melibatkan isu sub-kontraktor lantikan mereka,” katanya.

​Beliau turut membangkitkan rekod buruk operasi melibatkan kontraktor terbabit, termasuk insiden pada 11 Oktober 2025 di mana sebuah lori sampah merempuh Plaza Tol Puchong Selatan.

​Malah dedahnya, operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini telah menyita 22 buah lori sampah milik KDEB atas 154 kesalahan termasuk ketiadaan insurans, cukai jalan tamat tempoh dan penggunaan pemandu warga asing tanpa lesen.

​“Lebih mengejutkan, terdapat saman tertunggak sebanyak 22,000 notis bernilai RM3.1 juta yang perlu diselesaikan. Masalah lori sampah yang tidak mematuhi undang-undang ini menyebabkan rakyat berasa gusar dengan kecekapan KDEB.

​“Apa akan jadi kepada kutipan sampah kalau lori-lori sampah disita?” soalnya turut menyentuh mengenai kapasiti tapak pelupusan sampah (landfill) di Jeram dan Tanjung 12 yang semakin kritikal.

​Selain isu kutipan, beliau yang juga seorang pengamal undang-undang turut memperkatakan mengenai serta kelewatan pelaksanaan projek Waste-To-Energy (WTE) oleh Worldwide Holding Berhad yang masih belum beroperasi sepenuhnya.

​Tegasnya, terdapat tiga krisis utama yang sedang melanda Selangor iaitu lambakan sampah terlalu banyak, operasi kutipan bermasalah dan tapak pelupusan tidak mampu menampung kapasiti.

​“Kerajaan Negeri yang berbangga dengan kemajuan seharusnya lebih proaktif dan agresif menyelesaikan masalah fundamental ini, bukannya menunggu sehingga Tuanku Sultan sendiri menegur.

​“Pokoknya, jangan biarkan ‘Selangor Dalam Sampah’. Pendekatan komprehensif dan pantas perlu diambil segera demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 12/12/2025

- Advertisement -