Isu tanah FGV bukan konfrontasi negeri dan Pusat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Isu tanah ladang FELDA Global Ventures (FGV) yang berlarutan sejak puluhan tahun merupakan perkara antara Kerajaan Negeri Terengganu dan sebuah badan berkanun menduduki tanah negeri tanpa kebenaran, bukannya isu antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah FELDA, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, keadaan yang berlaku kini seolah-olah meletakkan kerajaan negeri dalam konfrontasi dengan Kerajaan Persekutuan, sedangkan perkara itu tidak tepat.

Menurut beliau, kekeliruan itu menyebabkan Felda berasa terlalu besar dan kuat sehingga memandang ringan tuntutan Kerajaan Negeri Terengganu.

“Apa yang sedang dilalui sekarang ialah, kerajaan negeri perlu berhadapan dengan Kerajaan Persekutuan seolah-olah Kerajaan Negeri sedang cari gaduh dengan Persekutuan. Ini tidak betul! Inilah juga punca utama kenapa FELDA rasa mereka besar dan kuat sehingga ambil sikap memandang rendah akan tuntutan Kerajaan Negeri.

“Walaupun Pengerusi FELDA bersama Lembaga Pengarah adalah orang Umno atau PH (Pakatan Harapan) sementara Kerajaan Terengganu dipimpin oleh PAS, ia juga bukanlah isu politik antara PAS dan Umno atau PH.

“Ini isu kecuaian tadbir urus sebuah badan berkanun bersaiz gergasi sehingga ada permasalahan besar yang tak selesai selama berpuluh tahun,” katanya dalam satu hantaran di laman _Facebook_ miliknya, semalam.

Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri turut mengingatkan bahawa perbincangan mengenai isu tersebut perlu kembali kepada asas dan tidak dikaitkan dengan unsur lain yang hanya merumitkan keadaan.

“Sesuatu perkara itu perlu kembali kepada persoalan pokok dan isu utama. Jangan heret dan kaitkan dengan anasir-anasir lain yang tak perlu kerana ia hanya merumitkan keadaan,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan kenyataan Menteri Komunikasi yang menyebut bahawa Kerajaan Persekutuan telah menjelaskan bayaran kepada kerajaan negeri, sedangkan persoalan utamanya ialah tindakan dan tanggungjawab FELDA sebagai sebuah badan berkanun.

“Saya yakin ramai rakyat Malaysia yang tak setuju bila Menteri Komunikasi mengeluarkan kenyataan berbunyi, Kerajaan Persekutuan telah menjelaskan bayaran kepada Negeri Terengganu… Kenapa Kerajaan Persekutuan?” soalnya. – HARAKAHDAILY 12/12/2025

- Advertisement -