
KUANTAN: Kerajaan negeri diminta memberi penjelasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai status kewangan yang dihadapi oleh salah satu anak syarikatnya iaitu Mentiga Corporation Berhad.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) berkata, syarikat tersebut mengalami masalah aliran tunai dan kerugian berterusan menimbulkan keraguan terhadap keupayaannya untuk terus beroperasi.
Beliau berkata, walaupun prestasi kewangan GLC menunjukkan pemulihan yang kukuh iaitu keuntungan kumulatif sebanyak RM2.3 bilion, namun langkah pemulihan bagi syarikat itu tidak didedahkan.
“Tahniah kerajaan, tetapi memang tujuan GLC ditubuhkan untuk menjana pendapatan negeri, jadi tindakan segera keatas syarikat yang bermasalah adalah satu tindakan yang sangat positif, tahniah.
“Cuma saya ingin dapatkan penjelasan (Menteri Besar) berhubung bagaimana Mentiga Corporation iaitu kedudukan kewangan Mentiga Corporation yang tidak disenaraikan dalam jawapan tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melontarkan soalan tambahan sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pagi tadi.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam jawapannya berkata, pihaknya mengakui syarikat yang bernaung dibawah Amanah Saham Pahang Berhad itu berhadapan masalah aliran tunai serius.
Beliau berkata, walaupun terdapat kerugian dari tahun 2015 hingga 2024, namun kerajaan melaksanakan langkah intervensi termasuk pensturkturan semula syarikat bagi meningkatkan prestasi GLC itu.
“Mentiga Corporation salah satu syarikat Public Listed, memang ada sedikit masalah kewangan aliran tunai, walaupun bukan semua dipengerusikan oleh Menteri Besar, tetapi saya tahu dari A sampai Z.
“Kerajaan negeri bantu dan sekarang ini alhamdulillah bertambah baik dan tidak sampai keluar borang untuk ditutup sebab dia ‘public listed company’,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu.
Terdahulu Hassanuddin Salim (PN-Kuala Semantan) pada sesi jawapan lisan bertanya mengenai jumlah kerugian dialami oleh GLC sejak 2015 hingga 2024 serta tindakan bagi menyelesaikan kerugian itu. – HARAKAHDAILY 12/12/2025











