
KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan dan Sumber Manusia, Ustaz Muhammad Azmir Azizan menegaskan bahawa masa depan negeri Perlis amat bergantung kepada kualiti pendidikan yang dibina pada hari ini.
Menurutnya, pendidikan tidak wajar dilihat sekadar urusan sekolah dan universiti semata-mata, sebaliknya menjadi asas daya saing negeri, penentu rezeki rakyat serta pemangkin utama perubahan ekonomi Perlis.
Beliau berkata, Perlis kini berada dalam fasa peralihan ke arah ekonomi berasaskan teknologi, data, agro-makanan pintar, logistik, pelancongan pintar serta industri modal insan yang menuntut graduan dan tenaga mahir lebih bersedia.
“Industri hari ini tidak lagi mencari sekadar tenaga kerja, sebaliknya memburu bakat, kemahiran dan minda kelas pertama,” katanya ketika membahas Belanjawan 2026 Negeri Perlis di Dewan Undangan Negeri (DUN), Kompleks Seri Putra, semalam.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri berhasrat melihat lebih ramai anak Perlis melahirkan diri sebagai jurutera, pakar data, teknologis makanan, pengamal industri kreatif, pakar animasi, penyelidik pertanian, pendidik cemerlang serta pemimpin masa depan.
Beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri akan terus memperluas kerjasama strategik dengan universiti awam dan swasta, industri tempatan, agensi persekutuan serta rakan strategik bagi membina laluan pendidikan yang lebih jelas, daripada sekolah kepada kemahiran, seterusnya ke alam pekerjaan dan kemakmuran.
Dalam perbahasan itu, beliau turut menekankan kejayaan program Tuisyen Perlisku Bestari yang disifatkan sebagai antara intervensi pendidikan paling signifikan di negeri ini.
Program tersebut katanya, bukan sekadar kelas akademik biasa, sebaliknya menjadi jambatan peluang kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah, luar bandar dan mereka yang berisiko tercicir daripada sistem pendidikan.
Antara impak yang disasarkan termasuk peningkatan prestasi asas Matematik dan Sains, pertambahan keyakinan pelajar, kadar kehadiran kelas yang tinggi serta kecenderungan lebih besar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Kerajaan Negeri ujarnya, komited untuk meneruskan dan menambah baik program ini termasuk melalui penggunaan kandungan digital, kecerdasan buatan (AI) tutor serta latihan berterusan kepada guru-guru tuisyen.
Segala inisiatif pendidikan ini jelas beliau, digerakkan selari dengan gagasan besar negeri iaitu Perlisku Bestari Berkat Lestari serta tema Belanjawan 2026, Perlisku Bestari, Rakyat Sejahtera.
Katanya, pendidikan merupakan nadi utama gagasan tersebut dengan penekanan kepada pengukuhan literasi digital, Sains Teknologi Kejuruteraan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan ilmu abad ke-21, termasuk melibatkan institusi tahfiz dan sekolah agama rakyat dalam perancangan pendidikan negeri.
“Bestari kerana kita membina ilmu dan kemahiran, berkat kerana pendidikan membuka pintu rezeki yang halal dan bermaruah, serta lestari kerana modal insan berkualiti menjamin kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.
Mengulas aspek pembangunan insan, Ustaz Muhammad Azmir mengingatkan bahawa Rasulullah SAW memberi keutamaan kepada pembinaan generasi unggul sebelum pembangunan negara dan tamadun.
Beliau berkata, sejarah pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin, khususnya Saidina Umar al-Khattab, menunjukkan bahawa pembangunan negara merangkumi reformasi pentadbiran, sistem ekonomi, pertanian dan pendidikan secara menyeluruh.
Beliau turut memetik kata-kata Saidina Umar yang menegaskan bahawa kepimpinan bertujuan menjadi teladan kepada rakyat dan memastikan hak mereka ditunaikan.
Menurut beliau, pembangunan insan yang seutuhnya merangkumi aspek fizikal, rohani dan pemikiran, selari dengan konsep Umran Bashari diketengahkan oleh Ibn Khaldun, iaitu pembangunan manusia secara seimbang berteraskan agama dan nilai.
“Pembangunan berasaskan agama bukan sahaja memberi manfaat di dunia, malah di akhirat, dan inilah asas kepada pembinaan tamadun serta kebudayaan tinggi umat Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2025











