Pembelaan DAP terhadap kedai judi berjaya

Rakyat Kedah kecewa

- Advertisement -

DI SAAT DAP sibuk menekan Kerajaan Madani dengan pelbagai tuntutan yang semakin tidak masuk akal, parti itu menerima satu ‘kemenangan besar’ apabila usaha mereka mencabar keputusan Kerajaan Negeri Kedah mengharamkan kedai judi akhirnya berjaya di Mahkamah Rayuan.

- Advertisement -

Keputusan ini hadir sebagai suntikan nyawa kepada DAP yang kini tercungap-cungap selepas mengalami penolakan besar-besaran pengundi Cina dalam PRN Sabah satu tamparan yang jelas terhadap survival politik mereka.

Dalam keadaan gelisah kehilangan sokongan tradisi, DAP dilihat semakin agresif memancing perhatian dengan isu pengiktirafan UEC, mempertikai kod etika pakaian, malah mengugut PMX untuk keluar kerajaan semuanya untuk membuktikan mereka masih ‘juara’ bagi tuntutan minoriti.

Maka tidak pelik apabila berita kemenangan pihak yang mencabar pengharaman pusat judi di Kedah disambut penuh kegembiraan oleh DAP yang sejak sekian lama menjadi penaung politik kepada pengusaha-pengusaha perjudian.

Hari ini, 12 Disember 2025 Mahkamah Rayuan menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah untuk mengekalkan larangan terhadap premis perjudian dan loteri. Keputusan ini bagaikan meraikan kembali pembukaan kedai-kedai judi yang ditutup sejak dua tahun lalu.

Namun di sisi lain, keputusan itu merupakan berita paling mengecewakan bagi majoriti rakyat Kedah yang hampir semuanya umat Islam yang telah lama mendambakan negeri bebas judi sepenuhnya.

Keghairahan DAP membela kepentingan pengusaha kedai judi menimbulkan persoalan besar, adakah ini benar-benar demi rakyat, atau sekadar ego politik untuk menentang kerajaan negeri yang dipimpin PAS?

Pada 23 November 2021, Liew Han Eng dan tiga pengusaha judi lain dengan sokongan peguam DAP, Ramkarpal Singh telah memfailkan cabaran undang-undang terhadap keputusan Kedah tidak memperbaharui lesen perjudian.

Hakikatnya, sejak penutupan kedai-kedai judi pada Januari 2023, kehidupan rakyat Kedah,  termasuk bukan Islam tidak pernah terjejas. Namun dengan keputusan terbaru ini, rakyat sekali lagi akan berdepan perpecahan dan kekeliruan, atas kepentingan siapakah premis perjudian ini perlu dibuka semula?

Mungkin penyokong kerajaan Madani bersorak kononnya Kedah ‘kalah’, tetapi mereka lupa bahawa penutupan kedai judi adalah aspirasi seluruh rakyat Kedah, bukan sekadar keputusan politik PAS.

Keputusan ini bakal memberi kesan buruk kepada Kerajaan Pusat. Rakyat Kedah melihat pemimpin-pemimpin Islam dalam kerajaan Madani tidak berbuat apa-apa untuk mempertahankan usaha menutup kedai judi seolah-olah tunduk kepada tekanan politik DAP.

Walau bagaimanapun, rakyat Kedah tetap berharap kerajaan negeri akan terus berjuang membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan. Menang atau kalah bukan soalnya; yang penting, prinsip Kedah sebagai negeri bebas judi mesti dipertahankan.

Jika kedai judi dibenarkan dibuka semula, ia pasti dilihat sebagai penghinaan kepada rakyat Kedah, seolah-olah kemenangan politik DAP ke atas kerajaan negeri. Dalam suasana sentimen tegang mengenai isu Pulau Pinang, pembukaan kedai judi berpotensi mengeruhkan lagi hubungan antara rakyat Kedah dan Kerajaan Pusat.

Kegembiraan rakyat Kedah selama dua tahun tanpa kedai judi mungkin terganggu, namun perjuangan tidak berakhir di sini. DAP, PH dan BN harus bersedia menanggung kos politik yang tinggi akibat penentangan rakyat Kedah.

PH dan BN pula harus menerima hakikat bahawa sokongan mereka akan merosot teruk kerana kegagalan menunjukkan solidariti terhadap aspirasi rakyat Kedah mahukan negeri Kedah bebas judi.

DAP mungkin sedang meraikan ‘kemenangan’ malam ini, tetapi arus kemarahan rakyat Kedah jauh lebih besar. PRU16 akan menjadi medan rakyat Kedah menolak PH dan BN habis-habisan.

KHALID HAMKA
Anak Jati Kedah – HARAKAHDAILY 12/12/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -