
KUALA LUMPUR: DAP disifatkan sebagai parti yang sanggup melakukan apa sahaja demi menjaga hati pengundi asas (‘base voters’) mereka, berbeza dengan PAS yang kekal istiqamah menjadikan Islam sebagai ‘garisan merah’ (‘redline’) dalam perjuangan.
Pengamal Undang-Undang, Yusfarizal Yussoff berkata, perubahan nada politik DAP yang drastik selepas ditolak rakyat di Sabah membuktikan parti itu sangat sensitif dan reaktif terhadap penerimaan penyokong mereka.
Menurut beliau, DAP menyedari bahawa tindakan bersekongkol dengan kegagalan reformasi Kerajaan PHBN serta sikap berdiam diri terhadap gejala rasuah telah mengikis kepercayaan penyokong tegar mereka.
“Apabila mereka ditolak di Sabah secara total, mereka terus mengubah nada. Difahamkan DAP mengadakan mesyuarat panjang sejurus kekalahan tersebut.
“Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke terus menetapkan garis masa enam bulan untuk ‘reformasi bermakna’ (‘meaningful reform’). Ini membuktikan DAP akan melakukan apa sahaja demi memenangi semula hati pengundi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook peribadinya.
Yusfarizal, yang juga Ketua Penerangan PAS Selangor turut membandingkan sikap DAP dengan PKR dan Umno yang dilihat sanggup mengenepikan suara akar umbi demi mengejar kuasa.
Beliau menjelaskan bahawa Umno yang dahulunya melaungkan prinsip ‘No Anwar, No DAP’ akhirnya menggadaikan prinsip tersebut atas alasan ‘demi rakyat’, malah memaksa jentera kempen memakai lambang Pakatan Harapan (PH)
“PKR pula dilihat gagal mengotakan janji-janji reformasi sehingga penyokong tegar (hardcore) mula hilang kepercayaan.
“Kritikan keras daripada bekas Pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan yang melabel kerajaan hari ini sebagai ‘paling diktator’, serta pandangan Tommy Thomas mengenai perjanjian persefahaman (MoU) sebagai yang terburuk, menjadi bukti kegagalan tersebut.
“Malah, aktivis seperti Fahmi Reza turut menjadi sasaran,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Yusfarizal menegaskan bahawa dalam kancah politik semasa, hanya PAS dilihat benar-benar kental mempertahankan ideologi dan tidak tunduk kepada kuasa semata-mata.
Menurutnya lagi, sejarah membuktikan PAS sanggup memutuskan hubungan politik seperti yang berlaku dalam Pakatan Rakyat sekiranya dasar Islam dipertikai atau ditolak.
“Walaupun dituduh menunggang agama atau gila kuasa, akhirnya terbukti bahawa ‘garisan merah’ PAS adalah Islam. Gabunglah dengan sesiapa pun, jika Islam dipertikai, kita berpisah.
“Jika terpaksa bertanding sendirian, kita bersedia. Jika ada rakan yang memahami perjuangan, kita bergabung.
“Bagi PAS, kalah tidak mengapa, asalkan prinsip tidak dikompromi. Kami mempertahankan ideologi sejak dahulu sehingga kini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/12/2025











