ART 2025 heret Malaysia ke kancah konflik

Muhammad Rafique Rashid Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Meskipun Malaysia mengamalkan dasar berkecuali, namun kebimbangan tetap wujud sekiranya ada usaha untuk mengheret negara ke dalam kancah pergolakan antara kuasa besar dunia.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, ia berlaku selepas kerajaan menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan bersama Amerika Syarikat pada Oktober lalu.

- Advertisement -

Menurut beliau, perjanjian secara bertulis akan diperbaharuan setiap lima tahun itu telah menimbulkan pelbagai reaksi serta kebimbangan rakyat terhadap pendirian negara dalam konflik semasa.

“Antara isi kandungan MoU dua negara ini aspek ketenteraan antara lain ialah meningkatkan keupayaan dalam ‘radar capabilities’, ‘maritime capabilities’, ‘staging capabilities’ dan ‘drone capabilities’.

“Ini bermaksud akan ada peluang yang besar dia masuk campur secara terus dan ada kemungkinan dia ‘set up base’ di sini sama ada udara atau laut, ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara,” katanya.

Bercakap di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini semalam Muhammad Rafique mendedahkan sehingga 2 Disember lalu, sebanyak 139 laporan polis telah dibuat, namun tiada tindakan dibuat sehingga kini.

Ia membabitkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) 2025 antara Malaysia dan Amerika Syarikat, di samping sebuah memorandum pertahanan pada 30 Oktober bagi menjalinkan kerjasama ketenteraan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menyedari jumlah laporan polis yang memerlukan tindakan segera pihak berkuasa itu untuk membuka kertas siasatan.

“Sehingga sekarang kita belum dengar apa-apa langsung, laporan polis ini dibuat bukan sahaja Perdana Menteri kerana menandatangani perjanjian tetapi bekas menteri Miti sekarang jadi Pengerusi MIDA.

“Yang paling mengecewakan kita tidak tahu status siasatan untuk semua laporan polis ini, kalau seorang sahaja buat laporan tak apalah kita boleh terima, ini laporan dari seluruh negara,” katanya. –HARAKAHDAILY 11/12/2025

- Advertisement -