Pahang perlu KPI baharu ukur pendapatan rakyat

Dato' Andansura Rabu
- Advertisement -

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang disaran memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) baharu yang memberi tumpuan khusus kepada peningkatan pendapatan isi rumah rakyat, bukan sekadar menilai pertumbuhan ekonomi semata-mata.

- Advertisement -

Dato’ Andansura Rabu (PN-Beserah) berkata, meskipun pertumbuhan ekonomi negeri pada kadar 5.7 peratus yang melepasi paras nasional wajar diberi pengiktirafan, namun pencapaian itu dilihat belum dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.

Menurutnya, data menunjukkan Pahang masih berada dalam kelompok lima negeri terendah dari segi pendapatan isi rumah, sekali gus memperlihatkan jurang antara perkembangan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat.

“Kita lihat pertumbuhan ekonomi yang dicatatkan tidak selari dengan kehidupan rakyat semasa, ini kerana perkembangan pertumbuhan ekonomi tidak disokong dengan peningkatan tangga gaji, pendapatan isi rumah rakyat. Walaupun ekonomi meningkat, rakyat masih belum dapat merasai kesannya secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri di Dewan Sri Pahang, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pelbagai pendekatan boleh dilaksanakan termasuk menyediakan peluang pekerjaan bergaji tinggi, pekerjaan berkemahiran serta memperkukuh sektor yang mampu menjana pendapatan lebih baik kepada rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, Pahang sebagai negeri terbesar di Semenanjung seharusnya berada dalam liga negeri maju, namun sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri itu kepada KDNK nasional dalam tempoh lima tahun hanya sekitar 4.0 hingga 4.1 peratus.

“Bila kita berada dalam negeri yang terbesar di Semenanjung seharusnya kita berada dalam liga kita sendiri. Kita berada dalam liga yang sama dengan negeri maju.

“Maknanya saiz ekonomi yang besar sepatutnya boleh menyumbang, Selangor menyumbang RM159 bilion, hampir 25 peratus KDNK negara Johor sembilan peratus KDNK negara jadi kita hanya empat peratus sahaja.

“Jadi ini perbandingan yang kita buat untuk nak mencapai tahap dan naikkan tahap kita kepada daripada negeri yang moderate kepada negeri yang lebih tinggi,” katanya.

Menurut beliau, usaha tersusun perlu dilaksanakan bagi membolehkan Pahang berada dalam liga yang sama dengan negeri-negeri maju dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat dan sumbangan kepada ekonomi negara. – HARAKAHDAILY 10/12/2025

- Advertisement -