
KUANTAN: Shahril Azman Abd Halim (PN-Jengka) membidas persepsi segelintir pihak yang mendakwa wakil rakyat pembangkang gemar claim atau mengambil kredit kerja-kerja agensi kerajaan.
Sebaliknya, beliau berkata, pembangkang tidak mempunyai sebarang kuasa eksekutif, mereka hanyalah sebagai penyampai suara rakyat yang sering kali berdepan kesukaran mendapatkan maklum balas walaupun aduan dibuat berulang kali.
“Kami tidak mempunyai kuasa untuk mengarah agensi kerajaan turun ke lokasi, kami tidak terlibat dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD), dan kami juga bukan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan.
“Maka persoalannya, apakah peranan sebenar kami sebagai wakil rakyat pembangkang apabila menerima aduan daripada rakyat yang datang mengeluh, yang mengatakan aduan telah dibuat berkali-kali, tetapi masih belum diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Dewan Sri Pahang, hari ini.
Menurutnya, tindakan wakil rakyat pembangkang turun ke lokasi aduan hanyalah bagi melihat sendiri permasalahan, mengumpul bukti serta mengangkat isu kepada pihak berwajib agar tindakan dapat disegerakan.
Tambahnya, kehadiran semula ke lokasi selepas kerja disiapkan pula bertujuan memantau hasil tindakan serta merakamkan penghargaan kepada agensi yang melaksanakan tugas, bukan untuk mendakwa kejayaan itu milik pembangkang.
“Itu bukan claim, itu adalah menyampaikan suara rakyat. Apabila agensi berkaitan akhirnya mengambil tindakan, YB pembangkang turun semula ke lapangan, bukan untuk mendakwa kerja itu kami buat, tetapi untuk merakam keadaan terkini dan mengucapkan terima kasih kepada agensi yang bertindak. Itu bukan mengambil kredit, tetapi memberi penghargaan.
“Maka tidak adil untuk mengatakan YB pembangkang claim kerja sedangkan kami sendiri tidak pernah mendakwa kami yang membaiki longkang, menurap jalan atau membaiki paip. Yang kami lakukan hanyalah memastikan aduan rakyat sampai ke meja yang sepatutnya dan dipandang serius,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pegawai Daerah Maran, pihak berkuasa tempatan serta semua agensi kerajaan yang terbabit atas kerjasama baik dalam menyelesaikan isu rakyat di kawasan DUN Jengka. – HARAKAHDAILY 10/12/2025











