
KUANTAN: Mohd Tarmizi Yahaya (PN-Panching) mencadangkan penubuhan pusat bantuan peralatan kesihatan bagi membantu pesakit terutama golongan B40.
Menurut beliau, terdapat keperluan mendesak untuk memudahkan pesakit kritikal memperoleh peralatan seperti katil pesakit dan mesin oksigen tanpa perlu menunggu terlalu lama.
“Saya lihat dalam bajet yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, terdapat peruntukan untuk OKU, warga emas dan sebagainya.
“Namun, mutakhir ini, sebahagian pesakit yang keluar hospital menghadapi kesukaran kerana tiada kemudahan peralatan kesihatan di rumah.
“Ada yang terpaksa membeli atau menyewa daripada farmasi dengan kos yang agak tinggi, terutama bagi keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Dewan Sri Pahang, hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Tarmizi mencadangkan agar kerajaan mewujudkan pusat bantuan peralatan kesihatan yang boleh menyediakan bantuan segera atau melalui sistem fast track, serta melibatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), NGO dan pejabat ADUN.
“Di pejabat saya sendiri, terlalu banyak permohonan seperti ini diterima. Pesakit masih berada di hospital, tetapi beberapa hospital meletakkan syarat dibenarkan pulang sekiranya telah ada katil pesakit di rumah,” katanya.
Beliau turut mencadangkan bantuan segera kepada anak-anak yatim piatu yang menghadapi kesusahan, termasuk isu rumah rosak dan bekalan elektrik terganggu.
“Baru-baru ini, berlaku di kawasan saya, ada keluarga yatim piatu tinggal di rumah yang atapnya bocor dan berlaku blackout akibat litar pintas.
“Saya mohon supaya kerajaan juga mempertimbangkan bantuan segera untuk skim baik pulih rumah bagi golongan miskin tegar,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 10/12/2025











