
KUALA LUMPUR: Amalan seks songsang di negara ini telah sekian lama dikategorikan sebagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, kata Pensyarah Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu A Aziz.
Menurutnya, beliau menggunakan frasa ‘seks songsang’ walaupun tiada definisi undang-undang khusus bagi merangkum perbuatan seks yang bertentangan dengan kebiasaan atau hubungan seks yang dibenarkan antara lelaki dan perempuan.
Jelas beliau, beberapa perbuatan boleh dikategorikan sebagai seks songsang dalam Kanun Keseksaan termasuk sumbang mahram (Seksyen 376A), persetubuhan luar tabii dengan haiwan (Seksyen 377), persetubuhan bertentangan aturan tabii (Seksyen 377A).
“Ia termasuk persetubuhan bertentangan aturan tabii tanpa kerelaan (Seksyen 377C), perhubungan seks dengan objek (Seksyen 377CA), melanggar kesopanan (Seksyen 377D) dan merangsang kanak-kanak bawah umur 14 tahun melakukan perbuatan kelucahan melampau (Seksyen 377E),” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kesalahan berkaitan seks di bawah Kanun Keseksaan berada dalam Bab XVI, iaitu bab yang memuatkan kesalahan mengenai tubuh manusia.
“Kesalahan sumbang mahram dianggap sebagai sebahagian daripada seks songsang kerana melanggar norma sosial masyarakat, walaupun mungkin berlaku secara sukarela kedua-dua pihak,” ujarnya.
Menurut Dr Shamrahayu, kesalahan sumbang mahram dimasukkan ke dalam Kanun Keseksaan melalui pindaan pada 2002 berikutan tuntutan dan implikasi sosial.
“Maksudnya di sini, suatu kesalahan seks diambil perhatian kerana kesannya ke atas masyarakat. Setiap perbuatan dijadikan jenayah mempunyai sebab tersendiri. Perkara sama juga terpakai kepada kesalahan seks songsang,” jelasnya lagi.
Beliau menegaskan, masyarakat tidak boleh menganggap perbuatan seks songsang sebagai perkara remeh, taboo atau bersifat peribadi atas tiket kebebasan individu semata-mata.
“Seks songsang dijadikan jenayah bukan sekadar diwarisi daripada undang-undang atau berkait dengan ajaran agama, tetapi kerana ia bertujuan melindungi masyarakat daripada perbuatan bertentangan nilai sosial, menjaga ketertiban awam dan mengekalkan standard moral masyarakat,
“Ia bermatlamat melindungi institusi keluarga sebagai kerangka utama masyarakat. Seks songsang boleh memudaratkan individu dan masyarakat. Justeru, Kanun Keseksaan perlu menghukum perbuatan ini sebagai pencegahan,” tegasnya.
Beliau menjelaskan bahawa Perlembagaan turut membenarkan kebebasan asasi dihadkan bagi menjaga moral awam melalui tiga peruntukan utama iaitu Perkara 10(2)(a), 10(2)(c) dan 11(5).
“Dalam Perkara 10(2)(a), prinsip moral disebut bersama ketenteraman awam bagi tujuan mengehadkan kebebasan bercakap dan bersuara. Perkara 10(2)(c) menyebut moral awam bersama ketenteraman awam
“Perkara 11(5) menyatakan kebebasan beragama tidak boleh berlawanan dengan kesihatan awam atau nilai moral,” ujarnya dalam satu tulisan disiarkan Berita Harian.
Beliau menyatakan juga bahawa peruntukan Perlembagaan menjadikan moral masyarakat sebagai nilai teras negara kerana sebagai undang-undang tertinggi, ia menyediakan kerangka kepada undang-undang dan tata kehidupan masyarakat.
Mengulas pandangan berbeza dalam perbahasan mengenai alasan mengklasifikasikan perbuatan seks songsang sebagai jenayah, beliau berkata, terdapat segelintir pihak terutama penyokong kebebasan individu berhujah bahawa seks adalah kebebasan peribadi selagi ia berlaku secara persetujuan dan tidak membabitkan mangsa.
Tambah Dr Shamrahayu, terdapat pihak yang berhujah bahawa perbuatan seks tidak wajar dijadikan jenayah serta menganggap peruntukan undang-undang berkaitan seks songsang hanya sesuai pada masa ia digubal, namun tidak lagi relevan pada era kini.
“Walaupun seks songsang tersebar seluruh dunia, ia tidak semestinya sesuai di negara ini,” katanya.
Falsafah negara, ujar beliau, mementingkan nilai agama, moral, adat dan adab, maka perkara ini tidak patut dibiarkan kerana akan meruntuhkan nilai masyarakat dan negara.
Dr Shamrahayu juga menegaskan bahawa apa yang dianggap sebagai kebebasan dan ‘victimless crime’ tidak seharusnya diterima dan dinormalisasikan, tambahan pula Kanun Keseksaan telah memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan sedemikian.
Beliau berkata, pembuktian kes melibatkan seks songsang sering kali rumit, termasuk bagi kes persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii mengikut Seksyen 377A, yang memerlukan prosedur siasatan tertentu seperti ujian DNA atau ‘internal search’.
“Kesukaran pembuktian ini bersesuaian dengan hukumannya yang berat, iaitu penjara mencecah 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 377B. Kesalahan mengikut Seksyen 377A menunjukkan persetubuhan luar tabii mungkin boleh dilakukan secara sukarela,” katanya.
Menurutnya, Seksyen 377C memperuntukkan hukuman bagi persetubuhan luar tabii tanpa kerelaan, iaitu penjara antara lima hingga 20 tahun serta sebatan.
Dr Shamrahayu menjelaskan terdapat peruntukan lain yang lebih mudah dibuktikan seperti kesalahan ‘gross indecency’ atau kelucahan melampau di bawah Seksyen 377D, yang boleh menjadi pilihan pertuduhan bagi kes lebih ringan.
“Lazimnya kesalahan kelucahan melampau ini difahami sebagai kesalahan liwat, tetapi ia bukan semata-mata liwat, sebaliknya boleh membabitkan perbuatan lucah atau perbuatan seks. Hanya mahkamah boleh menentukan maksud kelucahan melampau,” katanya, menjelaskan bahawa kes perlu dibawa ke mahkamah bagi tujuan tersebut.
Mengulas perundangan syariah, beliau menegaskan seks songsang adalah perbuatan bertentangan ajaran Islam dan boleh dijadikan kesalahan takzir.
Bagaimanapun ulasnya, keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan beberapa peruntukan jenayah syariah di Kelantan sebelum ini mencetuskan persoalan besar kepada negeri lain termasuk Wilayah Persekutuan.
“Walaupun hanya undang-undang kesalahan syariah di Kelantan terbatal, mungkin terdapat kebimbangan dalam jabatan penguatkuasaan undang-undang syariah mengenai kesan keputusan Mahkamah Persekutuan itu,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa keperluan penguatkuasaan undang-undang dilakukan bersungguh-sungguh di peringkat arus perdana kerana kesalahan seks songsang turut termaktub di bawah Kanun Keseksaan.
“Undang-undang wujud dalam Kanun Keseksaan, ia menjadi tanggungjawab lebih besar ke atas pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pendakwa raya.
“Suatu undang-undang akan dilihat sia-sia dan ‘mandul’ sekiranya tidak dikuatkuasa sewajarnya, sedangkan hasrat undang-undang itu demi menjaga kestabilan sosial masyarakat dan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2025











