
KUALA LUMPUR: Kerajaan PH-BN bertindak tidak adil dan menyalahi prinsip undang-undang apabila mengenakan ‘hukuman berganda’ (double jeopardy) terhadap Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi usul penggantungan selama enam bulan.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tindakan membawa usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) secara tergesa-gesa sedangkan prosiding di bawah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (Peraturan 36(12)) masih belum selesai, adalah satu bentuk penafian hak asasi untuk membela diri.
Menurutnya, sebelum ini Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat telah membuat aduan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat berhubung ucapannya pada 22 Oktober 2025 yang menyentuh isu latihan agensi penguat kuasa di Masjid Rusila, Marang.
“Saya telah memberikan jawapan bertulis setebal enam muka surat beserta lampiran kepada Speaker pada 2 Disember 2025 seperti yang diminta. Sepatutnya Speaker meneliti jawapan itu sama ada berasas atau tidak untuk dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
“Sebaliknya, saya dimaklumkan Speaker menghantar surat baharu meminta Pulai dan Menteri Dalam Negeri pula menjawab penjelasan saya. Kes di bawah 36(12) belum selesai, saya belum dipanggil atau dilepaskan, tiba-tiba datang usul gantung enam bulan di bawah 27(3).
“Ini adalah ‘double jeopardy’, dua tuduhan dalam satu isu terhadap satu orang. Kenapa nafikan hak saya dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dianggotai wakil kedua-dua belah pihak? Niatnya memang nak menggantung saya menggunakan majoriti undi dalam Dewan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Mengulas mengenai intipati ucapannya yang menjadi pertikaian, Takiyuddin menegaskan beliau hanya membangkitkan persoalan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) agensi kerajaan apabila mengadakan latihan, bukannya menghina mana-mana pasukan keselamatan.
Jelasnya, beliau menggunakan insiden di Masjid Rusila pada 19 September lalu sebagai contoh untuk bertanya sama ada latihan ‘ala komando’ tanpa pemakluman kepada pihak pengurusan masjid itu mematuhi SOP atau tidak.
“Takkan nak tanya di Parlimen pun tak boleh? Adakah Parlimen Malaysia sekarang ini tak boleh nak tanya lagi dah? Saya mengumpamakan, bukan menuduh.
“Saya bimbang jika SOP tidak dipatuhi, keadaan seperti peristiwa Memali boleh berlaku apabila orang kampung panik dan menyangka masjid diserang. Kita bangkitkan isu ini demi keselamatan rakyat dan kedaulatan institusi masjid,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan motif sebenar kerajaan memandangkan Menteri Dalam Negeri semasa sesi penggulungan pada 30 Oktober lalu telah menyatakan isu tersebut selesai dan meminta semua pihak untuk ‘move on’.
Dalam pada itu, Takiyuddin turut membandingkan kegagalan SOP dalam kes keselamatan lain, seperti insiden penculikan seorang individu dikenali sebagai ‘Datin Pamela’ berhampiran pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada April lalu yang sehingga kini tiada penyelesaian.
“Apa muslihat di sebaliknya? Apa rahsia anda untuk menyekat saya enam bulan daripada menghadiri Parlimen sedangkan Menteri kata kes dah selesai?” soalnya lagi. – HARAKAHDAILY 3/12/2025











