‘Sauna gay’: Sistem perundangan seolah hilang ‘taring’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kegagalan pihak berkuasa agama melakukan pendakwaan terhadap individu ditahan dalam serbuan pusat spa dan kesihatan yang dikaitkan dengan aktiviti songsang baru-baru ini memberi isyarat salah kepada masyarakat.

- Advertisement -

​Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menegaskan, tindakan melepaskan suspek hanya dengan ‘nasihat’ selepas operasi besar-besaran dilakukan, menyebabkan undang-undang di negara ini dilihat seolah-olah hilang ‘taring’ dan lemah dalam menghukum pesalah moral.

​Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata, alasan bahawa terdapat kekangan undang-undang atau kesukaran pembuktian tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup kes tanpa pendakwaan.

​Menurutnya, pihak berkuasa sepatutnya memanfaatkan peruntukan undang-undang sedia ada untuk memastikan kedaulatan undang-undang terpelihara dan gejala mungkar dapat dibendung dengan serius.

​“PPMM memandang serius laporan media berkenaan serbuan di sebuah premis di Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan aktiviti hubungan sejenis, di mana dilaporkan tiada pendakwaan jenayah dibuat ke atas individu yang terlibat.

​“Alasan bahawa terdapat ‘kekangan undang-undang’ atau kesukaran pembuktian adalah sesuatu yang perlu diperbetulkan segera demi memelihara kedaulatan undang-undang di negara ini.

​“Pihak berkuasa tidak boleh hanya sekadar melepaskan suspek dengan ‘nasihat’ kerana tindakan itu menghantar isyarat lemah,” katanya dalam satu kenyataan.

​Mengulas lanjut, Muhamad Hisham berkata, pendakwaan sebenarnya masih boleh diteruskan menggunakan peruntukan lain yang relevan jika tuduhan utama sukar dibuktikan.

​Beliau menyarankan penggunaan Seksyen 29 yang melibatkan Perbuatan Tidak Sopan di Tempat Awam, Seksyen 35 (Menganjurkan atau Memujuk Melakukan Maksiat) serta Seksyen 43 (Penyubahatan).

​Tegasnya, penggunaan seksyen-seksyen ini adalah penting bagi memastikan undang-undang syariah dilihat berfungsi dan berwibawa, bukannya sekadar tulisan di atas kertas tanpa kuasa penguatkuasaan yang berkesan.

​Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus turut menegaskan keperluan tindakan segera berkaitan undang-undang diambil bagi membanteras jenayah sosial, khususnya yang membabitkan gejala songsang yang semakin membimbangkan. – HARAKAHDAILY 2/12/2025

- Advertisement -