
IPOH: Kerajaan Negeri Perak disarankan agar mewujudkan Dana Sekuriti Makanan Negeri berjumlah RM50 juta bagi tujuan subsidi benih, baja tempatan serta sokongan agro-inovasi demi menjamin kelangsungan bekalan makanan rakyat.
Khalil Yahaya (PN-Kubu Gajah) berkata, langkah strategik ini penting bagi memastikan pesawah dan petani kecil mendapat akses kepada input pertanian berkualiti dengan harga mampu milik.
Katanya, walaupun negeri mencatatkan peningkatan dalam beberapa sektor tanaman, isu penurunan pengeluaran padi dan ancaman krisis beras perlu diberi perhatian serius.
”Kita tidak mahu episod ‘hilang beras’ atau beras tempatan lenyap dari pasaran berulang kembali. Hampir dua tahun rakyat dihantui masalah ini. Cukuplah pengalaman lalu di mana beras hanya dijumpai selepas banjir.
“Atau hanya muncul dalam Jualan Rahmah dan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK). Kita tidak mahu episod gelap ini terus menghantui rakyat negeri Perak,” katanya membahaskan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Negeri, di sini semalam.
Khalil yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Perak turut menyentuh mengenai penurunan pengeluaran padi negeri daripada 281,955 tan metrik kepada 260,828 tan metrik.
Jelasnya, walaupun Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah di Parit Buntar telah dinaik taraf dengan kapasiti 5,000 tan metrik setahun, rungutan pesawah mengenai harga benih yang tinggi dan kawalan harga baja yang tidak menentu masih kedengaran.
”Benda inilah yang bermain dalam fikiran pesawah. Walaupun ada benih berkualiti, harganya terlalu tinggi. Baja ada, tetapi kos membebankan. Ini perlu diselesaikan agar tidak terus menekan golongan pesawah,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar peruntukan kepada Jabatan Pertanian dipertingkatkan bagi memperluaskan penggunaan teknologi moden seperti dron, Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) di ladang-ladang kecil.
Khalil turut menyarankan pewujudan ‘Program Usahatani Muda Perak’ yang memberi fokus kepada latihan pertanian pintar dan pemasaran digital bagi menarik minat golongan muda menceburi sektor ini.
”Kerajaan negeri telah meluluskan hampir 93.84 hektar sebagai Zon Bekalan Sekuriti Makanan (Food Security Supply Zone), namun keluasan ini mungkin tidak mencukupi untuk menampung 2.5 juta rakyat Perak pada masa hadapan.
”Justeru, peningkatan produktiviti melalui teknologi dan sokongan kewangan yang kukuh adalah kritikal,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2025











