
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir menyifatkan kenyataan pemimpin DAP, Nga Kor Ming ketika berkempen di Kota Kinabalu sebagai cubaan mempertahankan tindakan bekas Setiausaha Politik (SetPol) Kanan Perdana Menteri dalam isu surat sokongan kepada kontraktor yang menyertai tender Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Roslan, kenyataan Nga yang menyebut bahawa SetPol berkenaan ‘tidak mengkorupkan sesiapa’ kerana hanya menghantar surat sokongan menunjukkan pemimpin berkenaan sanggup berkata apa sahaja semata-mata demi meraih undi di Sabah.
Katanya, pemimpin DAP itu mendakwa SetPol tersebut tidak mengambil duit dan hanya menyatakan sokongan kepada syarikat yang ‘harus mendapatkan kontrak hospital’, tetapi mengakui tindakan menghantar surat sokongan itu sendiri tidak sepatutnya berlaku.
“Perhatikanlah rakyat Sabah, demi nak meraih undi dan sokongan, Nga sanggup berkata apa sahaja walaupun beliau barangkali tidak tahu atau pasti apa yang diperkatakannya itu benar atau sebaliknya,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Roslan turut mempersoalkan sama ada benar enam syarikat yang disokong SetPol Kanan itu tidak terlibat dalam sebarang sogokan atau janji tertentu, serta menegaskan perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat.
“Jika pun benarlah tiada sogokan, mengeluarkan surat seumpama itu sahaja sudah tidak bermoral, sedangkan Perdana Menteri saban hari menyebut isu rasuah, salah guna kuasa dan tatakelola,” tempelaknya.
Beliau berkata rakyat Sabah tidak seharusnya dipermainkan dan perlu menolak mana-mana pihak yang cuba meremehkan isu integriti serta tadbir urus.
“Amalan surat sokongan itu salah dan PH serta DAP perlu memikul tanggungjawab dan kesannya. Jangan teragak-agak, tolak sahaja penyamun dan penyakau seperti ini. ‘Kasi Bagus Sabah’!” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2025











